suria

Bekas Adun Teratai Tarik Balik Saman Terhadap DAP

KUALA LUMPUR: Bekas anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai Jenice Lee Ying Ha pada Isnin menarik balik saman yang difailkan terhadap DAP berhubung pelucutan keanggotaannya dalam parti itu.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin merekodkan permohonan Jenice di dalam kamar dengan dihadiri peguam Harjit Sandhu yang mewakili Jenice dan peguam Sangeet Kaur bagi pihak DAP.

Harjit memberitahu pemberita bahawa Hakim Nor Bee tidak menetapkan sebarang kos dan penarikan saman itu dibuat setelah Jenice menerima surat daripada DAP bertarikh 7 Oktober lepas yang memintanya mengemukakan tunjuk sebab kenapa keanggotaan beliau tidak boleh dilucutkan.

"Berikutan surat itu, Jenice beranggapan beliau masih lagi anggota DAP," katanya.

Jenice memfailkan saman itu pada 5 Jun lepas dengan menamakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai defendan.

Pada pilihan raya umum ke-13, Lee yang juga bekas setiausaha publisiti DAP Selangor bertanding sebagai calon bebas di DUN Teratai namun tewas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain