suria

Bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu Didakwa Hina Dan Pertikai Maidam

KUALA TERENGGANU: Bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Syariah di sini terhadap dua pertuduhan menghina dan mempertikaikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan arahan Sultan Terengganu berhubung penstrukturan semula Maidam pada tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama Datuk Ismail Yahya, 57, didapati bertindak secara bertulis menghina Maidam melalui surat kepada Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK).

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa mengutus surat kepada SUK mempertikaikan arahan sultan selaku ketua Agama Islam yang memberi perkenan pelaksanaan penstrukturan baharu Institusi Pentadbiran pejabat Maidam seperti dinyatakan di dalam minit mesyuarat Maidam kelima pada 21 Oktober 2012.

Ismail didakwa mengutus kedua-dua surat itu beralamat di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu pada 29 Oktober tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM800 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 26 Februari tahun depan tarikh perbicaraan.

Pendakwaan dijalankan Ketua Pendakwa Syarie Mustafar Hamzah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain