suria

Anggota Polis Terbunuh Ketika Sedang Bertugas

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis terbunuh semasa bertugas ketika cuba menahan penunggang motosikal untuk pemeriksaan rutin pagi Ahad.

Jucille Juin, 23, anggota polis berpangkat konstabel sedang melakukan rondaan dengan rakan sekerja dengan motosikal berasingan di Jalan Loo Hong Joo di Kampung Baru Majidee kira-kira pukul 2.15 pagi sebelum kejadian berlaku.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan I Superintendan Abdul Wahib Musa berkata kedua-dua konstabel sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan apabila mereka ternampak penunggang motosikal mencurigakan di belakang mereka.

"Mereka memutuskan untuk berpatah balik dan cuba menahan pemandu tetapi dia enggan berhenti dan memecut.

"Ketika mengejar suspek, motosikal Jucille bergesel dengan motosikal suspek, menyebabkan dia hilang kawalan motosikal," katanya.

Beliau menambah, Jucille merempuh tiang lampu dan tercampak ke dalam longkang dan mengalami kecederaan teruk.

Abdul Wahib berkata rakan Jucille yang menunggang di belakangnya terselamat daripada kemalangan dan menahan suspek yang berusia 21 tahun itu.

"Suspek mengakui bahawa dia perasan telah diberi isyarat untuk berhenti tetapi terlalu takut untuk berbuat demikian," katanya sambil menambah suspek patah kaki kiri dalam kemalangan tersebut.

"Pemeriksaan menunjukkan suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain