suria

Kes Pegawai Bank Mati Ditembak: Penugasan Pengawal Ditentukan Syarikat Keselamatan

KUALA LUMPUR: Penugasan pengawal keselamatan di sesebuah bank ditentukan oleh syarikat yang menyediakan perkhidmatan itu, bukan oleh bank, kata Pengurus Besar Kanan Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan Ambank Syed Anuar Syed Ali.

Menurutnya kebanyakan bank di negara ini menggunakan perkhidmatan syarikat berkenaan, sekali gus menyebabkan pengawal keselamatan di bank masing-masing sering bertukar.

"Ini semua di bawah syarikat itu. Buat masa ini kami tidak menerima apa-apa maklumat mengenai pengawal keselamatan itu. Malah kami juga menunggu polis untuk maklumat lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Jumaat.

Dalam kejadian Rabu lepas, seorang pengawal keselamatan menembak mati pegawai bank itu ketika merompak cawangan bank berkenaan dalam kejadian di Jalan USJ 2, Subang Jaya, Selangor.

Pengawal keselamatan itu yang sebenarnya bertugas di bank lain, hadir bertugas di Ambank cawangan berkenaan bagi menggantikan orang lain yang tidak datang bekerja.

Rentetan itu, Kementerian Dalam Negeri membatalkan lesen syarikat kawalan keselamatan terbabit kerana gagal mematuhi syarat Akta Agensi Persendirian 1971.

Siasatan polis pula mendapati suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza itu menggunakan kad pengenalan palsu serta dipercayai berasal dari Sulawesi, Indonesia.

Sementara itu, ketika dihubungi Bernama, wakil syarikat kawalan keselamatan berkenaan, enggan mengulas.

"Saya tak nak komen apa-apa," kata wanita yang mengaku pegawai perhubungan awam syarikat.

Mengulas lanjut, Syed Anuar berkata buat masa ini pihaknya belum bercadang menubuhkan pasukan polis bantuan bagi menggantikan pengawal keselamatan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia Datuk Shaheen Mirza Habib memberitahu Bernama, pengambilan pengawal keselamatan mesti berdasarkan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

"Seorang pengawal keselamatan itu hendaklah melalui tapisan yang telah ditetapkan seperti tiada rekod jenayah lampau. Apabila pengawal keselamatan itu telah mula bertugas, pihak syarikat perlu memastikan pengawal itu berkelakuan baik sekurang-kurangnya selama enam bulan sebelum dibenar memohon lesen untuk menjadi pengawal bersenjata.

"Setelah memperoleh lesen senjata api, syarikat kawalan keselamatan perlu menghantar pengawalnya itu menjalani latihan menembak dan memastikan ia mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan semasa menjalankan tugas," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain