suria

Gerakan Tidak Gagal - Chang

KUALA LUMPUR: Pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn menegaskan Gerakan tidak gagal walaupun tidak berjaya merampas kembali Pulau Pinang kerana apa yang dinikmati penduduk negeri itu hari ini adalah hasil usaha bekas pentadbiran kerajaan negeri pimpinan parti itu.

Beliau berkata rakyat perlu realistik dan jujur, bahawa semua kejayaan di negeri itu tidak muncul selepas Lim Guan Eng dari DAP menjadi ketua menteri sepanjang lima tahun lalu.

"Kita mesti berdiri tegak dan mempertahankan rekod kita kerana jika tidak, kita akan kalah kepada pembohongan dan propaganda pihak pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar pada persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-42 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Menara PGRM di sini, Sabtu.

Chang yang akan berundur dari jawatannya pada Sabtu turut mengingatkan perwakilan untuk menzahirkan semula perjuangan sebenar parti sejajar dengan matlamatnya untuk bangkit semula.

Katanya, walaupun banyak yang telah dilakukan oleh kerajaan, pengundi kini lebih mendesak dan berfikiran bebas menyebabkan cara lama berpandukan politik pembangunan tidak lagi menjanjikan sokongan.

"Oleh itu, Gerakan yang baharu mesti tegas dalam menyuarakan nilai dan kepercayaan politiknya bagi menentang penyelewengan atau penyalahgunaan oleh mereka yang berkuasa," katanya.

Menurut Chang lagi, parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mesti kembali ke akar asal keadilan sosial dan demokratik serta memperbaharui hubungannya dengan rakyat.

"Kita mesti menjalinkan semula hubungan dengan gerakan kesatuan pekerja dan memperjuang hak-hak pekerja rakyat Malaysia," katanya.

Chang juga menegaskan Gerakan mesti kembali kepada peranan asalnya iaitu sebagai suara rasional dan kesedaran kepada BN dengan memperkenalkan pendekatan yang tidak bersifat perkauman terhadap polisi dan urus tadbir dengan penekanan yang istimewa untuk semua rakyat Malaysia.

"BN dan parti komponennya tidak boleh membangga diri tetapi perlu menunjukkan rasa rendah diri dalam kemenangan dan menerima bahawa sebuah cara baharu amat diperlukan dalam BN dari segi pemikiran merangkumi harapan dan aspirasi rakyat terhadap kerajaan bersih, adil, saksama dan inklusif," katanya.

Chang berkata BN yang dinamik adalah yang bersuara untuk kepentingan semua rakyat dan tidak didominasi oleh satu parti malah akan memastikan semua parti komponen dilayan dengan penuh hormat oleh anggota parti komponen lain dan darma gabungan sentiasa dihormati.

Menurutnya lagi, BN yang moden akan memastikan semua komponen boleh bersetuju untuk tidak bersetuju atas isu semasa tetapi pada masa yang sama akan terus berusaha mencapai konsensus.

"Sebuah BN yang moden harus memastikan wujudnya struktur perkongsian kuasa yang saksama supaya tidak ada situasi "pemenang ambil semua" dan kembali kepada semangat memberi dan menerima," katanya.

Dalam sidang akhar selepas itu, Chang berkata beliau mahu Gerakan mengadakan sesi dialog dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bagi membincangkan isu ekstremisme yang didakwa diamalkan badan bukan kerajaan itu.

"Bukan Perkasa sahaja NGO yang mengamalkan pandangan seperti ini, ada juga NGO berbangsa lain yang mengamalkan ekstremisme dalam bangsa dan caranya sendiri dan ini adalah tidak sihat, kami bukan mahu melawan Perkasa tetapi kami menentang cara perjuangan ekstrem mereka dan mahu berdialog dengan mereka tentang negara pelbagai kaum dan perpaduan," katanya.

Chang menyifatkan perjuangan Perkasa tidak menggambarkan sifat Malaysia yang sebenar dan walaupun Gerakan menghormati hak bersuara oleh semua namun parti itu mahu Perkasa berhenti mengeluarkan kenyataan yang didakwa tidak menghormati dan tidak menjaga sensitiviti kaum lain di negara ini.

Pemimpin tertinggi Gerakan itu turut menasihati semua perwakilan dan anggota parti supaya kekal komited dalam ideologi dan perjuangan parti tanpa gentar atau berat sebelah selaras dengan Perlembangaan Persekutuan dan memastikan suara Gerakan dalam BN didengari dan dihormati. - BERNAMA

Artikel Lain