suria

Dua Diberkas, Satu Lolos Diri Dalam Kes Curi Kenderaan

KUANTAN: Dua lelaki diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup kenderaan ke negara jiran, di sini kira-kira 6.30 pagi Jumaat.

Pemilik kenderaan terbabit yang berusia 50 tahun yang tinggal di Kubang Buaya di sini menyedari pacuan empat rodanya dilarikan suspek sebelum bertindak menghubungi polis pada pukul 4.45 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Aziz Ahmad berkata susulan laporan mangsa, polis kemudiannya membuat sekatan jalan raya di beberapa laluan keluar dari bandar Kuantan.

Menurutnya, hasil operasi khas yang dijalankan, polis berjaya mengesan kenderaan milik mangsa yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun ketika melalui sekatan jalan raya di Beserah dan bertindak memberkasnya.

"Suspek berkenaan kemudian mendedahkan dua lagi rakannya yang turut terbabit dalam kegiatan curi kenderaan itu. "Polis peronda berjaya mengesan dua rakan suspek terbabit yang menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic sebelum suspek memecutkan kenderaan itu kerana menyedari dia diekori polis," katanya.

Menurutnya, polis kemudian bertindak mengejar suspek hingga kereta suspek hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam semak berhampiran sebuah kilang di kawasan perindustrian Gebeng.

Katanya pihak polis kemudiannya berjaya memberkas seorang suspek manakala seorang lagi berjaya melarikan diri dalam kawasan semak berhampiran.

Aziz berkata suspek kedua yang berjaya diberkas itu berusia 42 tahun dan berasal dari Kelantan dan mempunyai 11 rekod jenayah termasuk curi kenderaan, penipuan serta dadah.

"Polis kini giat memburu seorang lagi suspek yang memboloskan diri itu," katanya. Menurutnya, kedua-dua suspek yang ditahan itu kini direman di Lokap Balai Polis Kuantan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi. -BERNAMA

Artikel Lain