suria

Polis Sahkan Terima Laporan Orang Hilang Sehari Selepas Kejadian Penebat Kilat Tumbang

GEORGE TOWN: Mahkamah Koroner diberitahu pihak polis ada menerima laporan mengenai orang hilang sehari selepas kejadian hujan lebat dan angin kencang yang menyebabkan penebat kilat di Menara Umno di Jalan Macalister di sini runtuh.

Pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut ASP Ibrahim Husin yang merupakan saksi ke-24 inkues untuk mengesahkan kematian seorang penjual nasi, Lim Chin Aik, 44, yang dipercayai tertimbus di dalam kawasan runtuhan penebat kilat itu, berkata polis menerima laporan pada 14 Jun lepas.

"Isteri mangsa, Lee Chai Song, 48, membuat laporan polis apabila mendapati suaminya tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk mengambil anak perempuan mereka di sekolah," katanya dalam prosiding inkues itu yang didengar di hadapan Koroner Khairul Anuar Abdul Halim hari ini.

Inkues itu diadakan bagi mengesahkan kematian Lim dan membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan sijil kematian bagi memudahkan urusan tuntutan insurans oleh keluarga mangsa. Ibrahim berkata dalam proses penyiasatan yang dijalankan, pihak polis merekodkan 27 keterangan saksi termasuk rakan-rakan mangsa serta melawat beberapa tempat yang biasa dikunjungi Lim serta pergi ke rumah pangsanya di Air Itam. Seorang lagi saksi, Pegawai Penyiasat Trafik IPD Timur Laut Insp Mohd Izarrie Shafie mengesahkan plat kereta yang ditemui dalam operasi menggali di kawasan runtuhan itu sepadan dengan nombor casis kenderaan yang ditemui tertimbus di tempat kejadian.

"Plat kereta yang ditemui itu dalam keadaan yang berpecah-pecah dan ia adalah sepadan dengan nombor casis kenderaan yang tertimbus di kawasan kejadian. Turut ditemui ialah beberapa komponen kereta serta empat biji tayar yang masih melekat pada rimnya," kata saksi.

Insiden yang berlaku pada 6.30 petang, 13 Jun lepas itu turut meragut nyawa seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, selepas lori yang dinaiki bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat Menara Umno yang runtuh.

Khairul Anuar dibantu Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit, peguam Naveen Singh bagi pihak keluarga mangsa serta peguam JKP Sdn Bhd (pemilik bangunan Menara Umno) Abdul Fareed Abdul Gafoor, yang dibantu Norliza Ali.

Pada 28 Oktober ini pihak mahkamah akan membuat lawatan ke kawasan kejadian iaitu bahagian atas bangunan Menara Umno, IPD Timur Laut serta kawasan gerai penjaja durian di Jalan Macalister. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain