suria

Pengeluaran Pasport, Lesen & Perkhidmatan Kesihatan Dikecualikan GST - KSN

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan disediakan kerajaan seperti pengeluaran pasport, lesen dan perkhidmatan kesihatan tidak akan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata GST yang akan dilaksanakan pada 2015 merupakan langkah perlu bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara dan memastikan satu sistem percukaian yang lebih menyeluruh, saksama serta cekap.

"Ini boleh menyumbang kepada peningkatan hasil pendapatan untuk tujuan pembangunan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Ali berkata untuk memastikan peralihan daripada sistem percukaian sedia ada kepada sistem GST berjalan lancar, pihak sektor awam akan mengadakan perbincangan dan melaksanakan langkah-langkah perlu bagi membantu semua pihak yang terlibat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini berkata GST akan dikuatkuasakan mulai 1 April 2015 pada kadar 6 peratus yang menurutnya paling rendah dalam kalangan negara-negara Asean. Selain itu, Ali berkata dalam usaha mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik, kerajaan akan menggiatkan lagi pembinaan rumah mampu milik untuk penjawat awam di bawah skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

"Pembinaan perumahan PPA1M telah dimulakan di Putrajaya dengan anggaran 10,000 unit dan ini akan diikuti di Lembah Klang dan negeri-negeri lain," katanya. Mengenai penambahbaikan skim perkhidmatan awam, Ali berkata kerajaan bersetuju untuk menambahbaik 81 skim melibatkan seramai 613,743 penjawat awam hasil perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

"Kerajaan dari semasa ke semasa akan mengkaji semula skim-skim perkhidmatan untuk memastikan ia relevan dengan keadaan semasa".

Di samping itu, Ali berkata Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan akan menjadi dua agensi perintis pelan Transformasi Perkhidmatan Awam yang seterusnya diikuti oleh setiap kementerian.

Menyentuh usaha kerajaan membuka lebih banyak Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) serta melaksanakan Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC), katanya langkah itu akan memastikan perkhidmatan awam dapat diakses oleh rakyat dengan mudah dan cepat.

"Ia selaras dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya.

Menerusi Bajet 2014, Najib mengumumkan peruntukan RM278 juta bagi membuka UTC di Sabah akhir tahun ini dan menambah empat lagi UTC di Sarawak, Johor, Terengganu dan Perlis sebagai tambahan kepada lima yang sedia ada.

Pada masa sama menambah tiga RTC di Sabah, Sarawak dan Negeri Sembilan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan RTC sebanyak lapan buah.

Mobile CTC pula dilaksana dengan menggunakan bas serta van yang diubah suai dan antara perkhidmatan ditawarkan termasuk pendaftaran MyKad, memperbaharui lesen memandu, pemeriksaan kesihatan serta khidmat nasihat perniagaan.

Ali juga menegaskan pematuhan kepada Akta Acara Kewangan 1957, Arahan Perbendaharaan pekeliling kewangan adalah penting untuk memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan berintegriti.

"Tindakan tatatertib di bawah undang-undang berkaitan wajar diambil ke atas mereka yang tidak mematuhi prosedur ditetapkan atau menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau berkata semua kementerian, jabatan dan agensi perlu melaksanakan dengan segera segala inisiatif dalam Bajet 2014 untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Mengulas pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada penjawat awam yang akan dibayar pada awal Januari depan, Ali berkata ia merupakan satu penghargaan kerajaan kepada golongan itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain