suria

Palanivel Tidak Jangka Subramaniam Akan Dicabar Jawatan Timbalan Presiden MIC

Palanivel.
Palanivel.
Palanivel.

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel menjangkakan timbalannya, Datuk Seri Dr S Subramaniam akan kembali memegang jawatan itu dengan menang tanpa bertanding pada pemilihan parti 30 November ini.

Bagi jawatan naib presiden, Palanivel yang kembali menjadi presiden pada 1 September lalu berkata, sekurang-kurangnya 10 pemimpin akan menyertai persaingan dalam merebut tiga kerusi jawatan itu.

Beliau berkata, kira-kira 40 pesaing di kalangan lebih 140 pemimpin telah mengirimkan SMS mengenai hasrat mereka untuk bersaing dalam merebut jawatan bagi 23 jawatankuasa kerja pusat (CWC), yang dijadualkan pada 30 November ini.

"Saya tidak membalasnya. Saya tidak mencadangkan mana-mana calon, sama ada untuk Wanita, Pemuda mahupun jawatan utama.

"Biarkan ia secara bebas. Ini merupakan parti demokrasi dan sesiapa sahaja boleh bertanding," kata Palanivel kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat CWC di sini, Khamis.

Palanivel berkata, beliau menjangkakan tidak akan ada pertandingan untuk jawatan timbalan presiden yang dipegang oleh Dr Subramaniam yang merupakan Menteri Kesihatan.

"Saya percaya nanti akan ada kira-kira 10 pemimpin yang akan bertanding untuk tiga jawatan naib presiden," tambahnya.

Sayap Wanita dan Pemuda akan mengadakan penamaan calon pada 8 November manakala pemilihan dijadualkan pada 16 November.

Palanivel yang merupakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan perhimpunan agung MIC di Melaka pada 1 Disember.

Bagi pemilihan bahagian, beliau berkata, ianya berjalan lancar kecuali untuk empat sehinga lima bahagian yang mengalami masalah dan pemilihan semula akan diadakan.

Mengenai segelintir pemimpin yang mendakwa bahawa mereka telah mendapat restu untuk bertanding, Palanivel berkata, beliau tidak mencadangkan sesiapa.

Artikel Berikut

Artikel Lain