suria

KPWKM Mahu Tubuh Jawatankuasa Khas Himpun Wanita Profesional

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mahu menubuhkan jawatankuasa khas yang akan menghimpunkan golongan wanita profesional.

Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, ia bertujuan untuk memperkasakan lagi penglibatan, kebolehan dan kepimpinan wanita dalam bidang profesional di negara ini.

"Jawatankuasa khas ini akan menghimpunkan mereka antara lain seperti golongan profesional, pakar ademik dan ahli saintis," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi memberi respons mengenai penubuhan Akademi Inovasi Wanita yang disebut dalam Bajet 2014.

Menerusi Bajet 2014, KPWKM akan diperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion bagi melaksanakan pelbagai program di bawah kementerian itu.

Rohani yang merupakan Ahli Parlimen Batang Lupar berkata, penubuhan Akademi Inovasi Wanita seiring dengan permintaan golongan wanita profesional yang mahu usaha memperkasakan wanita supaya dijalankan secara serius.

"Akademi ini akan merangka program-program kepimpinan, keusahawanan dan inovasi untuk golongan wanita.

"Dengan tertubuhnya Akademi Inovasi Wanita, banyak perkara yang boleh dilakukan secara bersama," katanya.

Akademi Inovasi Wanita itu nanti akan ditubuhkan di bawah naungan Institut Tadbiran Awam Negara.

Artikel Berikut

Artikel Lain