Harga Gula Naik: Perbelanjaan Kerajaan Beri Tumpuan Pembangunan - Hasan Malek - Semasa | mStar

Harga Gula Naik: Perbelanjaan Kerajaan Beri Tumpuan Pembangunan - Hasan Malek

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, kenaikan harga gula yang berkuatkuasa pada sabtu sebenarnya memberi penjimatan dalam perbelanjaan kerajaan untuk tujuan pembangunan.

Beliau berkata, seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa harga gula akan naik dari RM2.50 sekilogram kepada RM2.84 sekilogram, berkuatkuasa pada Sabtu.

"Bagaimanapun, kita kena lihat dari sudut positif, bagi pemansuhan subsidi gula tersebut... kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM64.02 juta bagi tahun 2013 dan RM551.25 juta pada 2014.

"Ini bermakna ada penjimatan wang kerajaan dengan penurunan subsidi. Lebihan (penjimatan) ini nanti dapat digunakan untuk pembangunan dan struktur-struktur yang lain," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2014 di Parlimen di sini, Jumaat.

Kenaikan harga gula disebabkan oleh pemansuhan subsidi terhadap barang kawalan itu sebanyak 34 sen yang berkuatkuasa pada Sabtu.

Hasan yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, pemansuhan subsidi itu akan memberikan keuntungan kepada tahap kesihatan rakyat.

"Kita mahu rakyat hidup sihat. Hari ini ramai yang kena penyakit kencing manis kerana berlebihan gula. Dan ini kita perlu lihat secara positif.

"InsyaAllah dengan penerangan yang kita akan pergiatkan nanti, rakyat akan tahu dan faham tentang perkara ini," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Bajet 2014 berkata, langkah mengurangkan subsidi gula sebanyak 34 sen itu bertujuan untuk mengurangkan jumlah pesakit diabetis di negara ini yang agak membimbangkan.

"Berdasarkan statistik, terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetis dan jika tidak dikawal akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung dan kerosakan buah pinggang.

"Saya menyeru agar kita bersama-sama jaga kesihatan, kurangkan manis dalam makanan dan minuman. Tambahkan manis dalam senyuman," kata Najib.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Inti Pati Bajet 2014

Artikel Berkaitan

default image

Keputusan UPSR 2013 Diumum 14 November Ini

default image

Taufan Haiyan Landa Filipina

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain