suria

Sultan Pahang Minta Rakyat Pelihara Persefahaman Kaum

PEKAN: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah meminta seluruh rakyat di negara ini supaya terus memelihara persefahaman antara satu sama lain dan menjaga keharmonian sedia ada.

Baginda bertitah segala perkara remeh dan tidak penting yang boleh mengganggu-gugat keharmonian rakyat dan kemakmuran negara perlu ditolak ke tepi dan jangan sesekali diungkit.

"Sekiranya berlaku pertelingkahan dan pergaduhan, hanya akan merugikan rakyat, justeru semua rakyat perlu berfikir dengan sewaras-warasnya sebelum melakukan sesuatu," titah baginda dalam majlis istiadat pengurniaan darjah dan pingat kebesaran sempena ulang tahun ke-83 Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, di sini, Khamis.

Sultan Ahmad Shah turut menyeru rakyat yang beragama Islam agar terus berpegang teguh kepada ajaran agama dan terus memantapkan akidah dalam diri masing-masing.

"Janganlah kita terpedaya dengan dakyah berselindung di sebalik hak asasi manusia, liberalisme dan ajaran Syiah yang boleh merosakkan akidah mereka yang beragama Islam. "Bagi mereka yang bukan beragama Islam, mereka boleh mengamalkan ajaran masing-masing tanpa gangguan sesiapa pun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," titahnya.

Dalam istiadat hari ini, baginda berkenan mengurniakan darjah dan pingat kebesaran kepada 48 penerima.

Sebanyak 21 individu menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Antaranya ialah adinda baginda Tengku Datuk Idris Sultan Abu Bakar, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim; Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr James Dawos Mamit dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak Datuk S. K Devamany.

Penerima lain Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Mohd Shukri Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Ismail Ahmad, Timbalan Ketua Umno Kuantan Datuk Ab Hamid Mohd Nazahar serta Ketua Pegawai Operasi Jabatan Khidmat Pendeposit dan Operasi Lembaga Tabung Haji Datuk Kamarudin Mat Ali.

Lima individu menerima Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk iaitu Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang Datuk Rosman Yahya, Pengarah Pembangunan Negeri Pahang Datuk Dzul-Kifly Osman, Pengurus Besar/Ketua Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Tajuddin Atan, Ketua Pusat Jantung Dan Paru-Paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Mohd Ramzisham Abdul Rahman dan Pengerusi Merangkap Pro-Canselor Universiti Kuala Lumpur Datuk Dr Adham Baba.

Sembilan lagi dianugerahi Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang turut membawa gelaran Datuk.

Antaranya Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Muttalib, Pengarah Kesihatan Pahang Dr Norhizan Ismail, Pengurus Besar Kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Suhaimi Ali Hanafiah dan Naib Presiden Telekom Malaysia Mohd Rais Azhar.

Sebanyak 13 individu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang juga membawa gelaran Datuk.

Antaranya Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Mohd Kamil Mohd Ali, Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan Mohd Zulkephli Mohd Noor serta penyanyi dan pelakon tanah air Jamal Abdillah dan penyanyi popular Indonesia Rossa -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain