suria

Saman Fitnah Syed Husin: Utusan Setuju Tarik Balik Laporan Berita

KUALA LUMPUR: Saman fitnah Senator Dr Syed Husin Ali terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan Pengarangnya Datuk Mohd Hassan Mohd Noor selesai setelah kedua-dua defendan bersetuju menarik balik satu laporan berita yang diterbitkannya, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Su Geok Yiam merakamkan persetujuan yang dicapai pihak plaintif dan defendan, dengan defendan bersetuju untuk meminta maaf kepada Syed Husin serta menarik balik pernyataan-pernyataan yang diterbitkannya pada 6 Mac, 2010.

Selain itu, defendan pertama, Utusan Melayu (Malaysia) dalam tempoh 10 hari bermula Khamis akan menerbitkan kenyataan maaf kepada plaintif di muka surat lapan akhbar berkenaan.

Dalam tempoh sama, defendan pertama harus membayar kepada plaintif sejumlah kos yang telah dipersetujui secara bertulis antara kedua-dua pihak.

Syed Husin, 76, bekas timbalan presiden PKR memfailkan saman itu pada 27 Januari lepas dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif lain serta satu perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah yang sama terhadapnya.

Defendan diwakili peguam Mohana Kumar TKB manakala plaintif pula oleh peguam Bani Prakash. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain