suria

PAS Harap Pengaruh Azizan Pertahan Sungai Limau - Hadi

Abdul Hadi.
Abdul Hadi.
Abdul Hadi.

YAN: PAS yakin pengaruh Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau mampu memberi kelebihan kepada parti itu untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya kecil DUN tersebut 4 November depan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pemilihan calon yang juga bekas 'anak didik politik' kepada Azizan merupakan bonus kepada mereka selain faktor calon itu sendiri yang dikatakan rapat dengan pengundi muda.

"Beliau sangat berpengaruh di kalangan pengundi-pengundi muda. Ini sangat membantu kerana kita tahu ramai pengundi muda akan mengundi pada pilihan raya ini.

"Selain itu memandangkan beliau bertugas dengan Tan Sri Azizan, maka kita yakin pimpinan akar umbi akan terus bersama beliau.... jadi kita bertolak dan bersandar dengan kekuatan itu," katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon di Dewan Dato' Madi di sini, Rabu.

PRK DUN Sungai Limau menyaksikan saingan dua penjuru antara calon PAS, Mohd Azam Samat dan wakil Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Sohaimi Lazim.

Mengulas lanjut Abdul Hadi merayu agar pengundi di DUN Sungai Limau terus memberi kepercayaan kepada PAS untuk mewakili mereka di DUN Kedah.

"Kita percaya mereka yang memberi undi kepada Azizan pada PRU-13 akan mengundi kita lagi... harapannya begitu," katanya.

Ditanya mengenai tentangan yang dihadapi PAS pada pilihan raya ini, Abdul Hadi mengingatkan jentera parti itu agar tidak tidak memandang ringan kemampuan BN.

"Kita akan berusaha dengan sebaik mungkin untuk mendapat majoriti undi yang lebih.

"Namun begitu kita tidak boleh memandang ringan kerana kita berhadapan dengan sistem demokrasi yang tidak sama rata serta media yang tidak seimbang," katanya.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian penyandangnya, Azizan yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Azizan memegang kerusi itu selama lima penggal sejak 1995.

Beliau mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas dengan memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya daripada BN, Mohd Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.

Artikel Berikut

Artikel Lain