suria

Lokasi Lembah Bertam Tidak Selamat Didiami - Mahdzir

Mahdzir Khalid.
Mahdzir Khalid.
Mahdzir Khalid.

CAMERON HIGHLANDS: Lokasi penempatan di sekitar kawasan Lembah Bertam tidak selamat untuk didiami kerana terdedah dengan risiko limpahan air tinggi, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, risiko limpahan air tinggi terdedah kerana pintu empangan akan terbuka secara automatik jika paras air menunjukkan tahap bahaya.

"Jika limpahan air berlaku risiko mungkin lebih teruk dan penduduk sekitar akan terdedah dengan pelbagai kemungkinan yang lebih buruk lagi," katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian di sini, Khamis.

Beliau berkata, apa yang penting Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu dilakukan untuk mengelak tragedi sama berulang kerana bencana boleh berlaku bila-bila masa.

Mahdzir berkata, sejak lima tahun lepas kerajaan memperuntukkan RM20 juta setahun untuk pembersihan di Sungai Bertam.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Ir Azman Mohd berkata, pihaknya telah melaksanakan SOP mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Amaran awal telah beberapa kali diberikan sebelum pelepasan air dilakukan dari empangan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mempertimbangkan pemberian bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan dan bantuan lain kepada mangsa dan penduduk yang terjejas akibat kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain