suria

Memorandum BBC Hanya Teguran Biasa - Abdul Khalid

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menganggap memorandum dari Kelab Penyokong Kerajaan Negeri (BBC) yang menegur kegagalannya menguruskan rizab simpanan negeri, sebagai perkara biasa.

"Saya terima banyak memorandum. Hal tanah saja dari 2008 hingga 2012, saya menerima lebih 170 memorandum.

"Kita memang benarkan Ahli Parlimen, Adun menulis surat kepada saya kerana adakalanya mereka bukan mewakili satu kumpulan atau kawasan mahupun NGO tertentu. Ia memang perkara biasa," katanya.

Justeru beliau berkata, satu perjumpaan dengan ahli Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri ini dan pemimpin Pakatan Rakyat akan diadakan bagi mencari usaha supaya pembangunan negeri ini dapat diurus dengan baik.

"Kita ada prinsip ketelusan, kita terbuka untuk berbincang. Kalau dia rasa masih belum jelas, kita sedia perkara ini dibincangkan di peringkat SELCAT," katanya.

Abdul Khalid turut tidak menyifatkan teguran itu sebagai satu tekanan tetapi menganggap ia sebagai satu budaya baru yang dibawa kerajaan negeri ini.

"Budaya baru yang kita nak bawa adalah kita bekerja untuk rakyat jadi rakyat nak tahu apa kita nak buat. Adakalanya rakyat soal kita, adakalanya Adun pun soal kita, wakil Parlimen pun ada soal kita. Jadi kita kena bersedia untuk menjawab dan menjelaskan jawapan kita.

"Adakalanya keputusan kita boleh jadi tak 100% betul. Oleh kerana kita menerima ketelusan kita betulkanlah. Jadi ia adalah usaha pembangunan yang berterusan dan bersama- sama," katanya.

Baru-baru ini, Abdul Khalid menerima memorandum daripada BBC yang menuntut peruntukan lebih besar bagi pembangunan dalam belanjawan kerajaan negeri tahun depan.

Memorandum bertarikh 7 Oktober itu antara lainnya menolak cadangan untuk mengurangkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM100 juta.

Artikel Lain