suria

Lebih 2 Juta Pekerja Asing Di Malaysia - Wan Junaidi

Wan Junaidi.
Wan Junaidi.
Wan Junaidi.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.1 juta pekerja asing berdaftar dan mempunyai pas daripada Jabatan Imigresen berada di negara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi bagaimanapun berkata, jumlah sebenar pendatang tanpa izin di Malaysia tidak dapat dipastikan namun lebih 1.3 juta pendatang tanpa izin berjaya didaftarkan pada program pemutihan 6P yang dilaksanakan sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius masalah kebanjiran pendatang tanpa izin terutama di Sabah dan telah melancarkan pelbagai operasi untuk mengatasinya.

"Sehingga 1 September lalu, sebanyak 99 operasi dilancarkan di Sabah. Hasilnya seramai 1,821 pendatang tanpa izin diperiksa dan 532 ditangkap mengikut Akta Imigresen," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini Rabu.

Wan Junaidi berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang bertanya jumlah terkini pendatang tanpa izin dan langkah untuk mengatasi masalah itu terutama di Sabah.

Kerajaan juga menurut Wan Junaidi telah melancarkan 371 operasi di seluruh negara sejak Januari hingga September lepas bagi menangani masalah itu.

"Sepanjang operasi itu, 15 majikan ditangkap untuk siasatan dan sehingga September 2013, seramai 9,620 pendatang tanpa izin telah diusir ke negara asal," katanya.

Berhubung pelan untuk menggunakan I-Kad bagi mengenal pasti pendatang tanpa izin, Wan Junaidi berkata satu mesyuarat telah diadakan sebelum Hari Raya Aidiladha, dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Terdapat lapan sektor pekerjaan di Malaysia dan mengikut perancangan ialah memberikan lapan kad warna untuk membezakan sektor ini," katanya.

Wan Junaidi berkata, kebanjiran pendatang tanpa izin di negara ini disebabkan pemikiran rakyat yang enggan melakukan pekerjaan seperti di sektor peladangan, pembinaan serta penyajian makanan.

Masalah pendatang tanpa izin bukan terletak di tangan kerajaan untuk menyelesaikannya, tetapi memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk rakyat negara ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain