suria

Kementerian Umum 14 Jenis Barangan Terkawal Sempena Deepavali

Hasan Malek.
Hasan Malek.
Hasan Malek.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada Rabu mengumumkan 14 jenis barangan terkawal di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, skim itu berkuat kuasa selama sepuluh hari dari 28 Oktober hingga 6 November dan kementerian akan menggerakkan 1,845 penguat kuasa serta 1,071 pegawai pemantau harga untuk memastikan peniaga mematuhinya.

Antara barangan yang berada dalam senarai harga kawalan itu ialah;

> ayam hidup dengan harga maksimum RM5.90 sekilogram;

> ayam standard (RM7/kg);

> ayam super (RM7.70/kg);

> daging kambing tempatan bertulang (RM32/kg);

> daging kambing biri-biri import bertulang (RM15/kg);

> daging kambing biri-biri import tanpa tulang (tidak termasuk peha) (RM19/kg);

> daging paha kambing biri-biri import bertulang (RM20/kg);

> telur ayam gred A (34 sen sebiji), B (33 sen) dan C (32 sen);

> tomato(RM3.50/kg);

> bawang merah (RM4/kg);

> ubi kentang import (China) (RM4/kg) serta

> kacang dhal (Australia) (RM2.50/kg).

Menurut Hassan, semua harga barangan di bawah skim kawalan itu berkuat kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Peniaga yang didapati melanggar peraturan itu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

"Bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya.

Beliau turut mengingatkan peniaga agar meletakkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan terbabit dan jika gagal berbuat demikian mereka boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu dan denda RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 bagi syarikat.

Menteri itu juga menggesa pengguna membuat aduan mengenai kenaikan harga barang kawalan ini kepada kementerian melalui 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) ditalian 03-80008000 atau hotline 1 800 886 800 jika mereka dapati peniaga enggan mematuhi arahan kementerian.

Sementara itu, Hasan berkata dua syarikat pemaju akan dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

"MyCC nampak macam tidak bergerak namun hakikatnya mereka membuat kajian dan penyelidikan terhadap masalah kenaikan harga rumah ini.

"Setakat ini kita dapati Rehda tak ada buat kenyatan sedemikian. Jika masih ada unsur-unsur persaingan kita akan mengambil tindakan kerana kita sangat serius dalam hal ini.

"Jika menyalahi akta persaingan kita akan mengambil tindakan. Di sini pengguna perlu bijak dan memaklumkan kepada kita," katanya.

Pada Isnin, Hasan dilaporkan berkata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) tidak pernah membuat kenyataan untuk menaikkan harga rumah sehingga 10 peratus.

Beliau berkata dalam perjumpaan dengan pihak Rehda, MyCC telah diberikan bukti bahawa Rehda tidak mengeluarkan kenyataan itu malah memberi jaminan mereka tidak terlibat dalam apa-apa kartel dan akan sentiasa mematuhi undang-undang berkaitan.

Artikel Lain