suria

GST Tidak Boleh Dilaksanakan Hingga Pendapatan Isi Rumah Capai RM4,000 Sebulan - PR

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat membantah pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sehingga pendapatan isi rumah mencapai tahap minimum, RM4,000 sebulan.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, ia perlu bagi mengurangkan tekanan daripada pengurangan kuasa beli yang wujud ekoran pelaksanaan GST terutamanya kepada kumpulan berpendapatan sederhana.

"Juga sepatutnya ada pengurangan cukai pendapatan individu dengan lebih meluas dan kerajaan perlu mendedahkan senarai harga barangan yang dikecualikan cukai terutamanya barangan keperluan asas," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Rabu.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap cukai jualan semasa dan perkhidmatan (SST) yang akan dimansuhkan, serta cukai syarikat dan cukai pendapatan perseorangan yang akan dikurangkan secara serentak jika kerajaan melaksanakan GST.

"GST mungkin akan menyebabkan kemelesetan terhadap 'kitaran perniagaan' yang kelihatan telah berkurangan lewat kebelakangan ini, berbanding daripada 10 kepada tujuh tahun lalu.

"Kali terakhir kemelesetan ekonomi melanda Malaysia pada 2009, jadi terdapat kemungkinan bahawa kemelesetan yang akan datang mungkin berlaku kira-kira 2016, setahun selepas GST dijangka dilaksanakan," kata Wong.

Rang undang-undang GST telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Parlimen Disember 2009.

Namun pelaksanaannya ditangguhkan kerana ia mendapat bantahan daripada pelbagai pihak terutamanya pakatan pembangkang.

Artikel Lain