suria

Cuaca Buruk Di Cameron Highlands, Operasi Mencari Mangsa Banjir Dihentikan

CAMERON HIGHLANDS: Operasi mencari dan menyelamat seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai dihanyutkan arus deras di Sungai Bertam, Ringlet, di sini pada Rabu dihentikan setakat pukul 6 petang berikutan cuaca buruk.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Mohd Zahari Wan Busu berkata operasi akan disambung 8 pagi esok.

Beliau berkata polis bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Jabatan Pertahanan Awam dan Angkatan Tentera Malaysia akan meluaskan kawasan mencari dan menyelamat di sepanjang Sungai Bertam.

Mohd Zahari berkata mangsa yang dilaporkan hilang dikenali sebagai Jarwati, 24, dan dipercayai dihanyutkan arus deras.

"Hari ini kita telah melakukan proses mencari dan menyelamat di kawasan Sungai Bertam kira-kira 13 kilometer dan esok kita akan memperluaskan lagi kawasan mencari," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata proses mencari dan menyelamat membabitkan 293 pasukan keselamatan serta polis, turut menggunakan khidmat anjing pengesan bagi membantu usaha mencari.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi tiga terbunuh - dua daripadanya lemas dan seorang akibat serangan jantung, dalam kejadian banjir kilat selepas air Sungai Bertam melimpah susulan pelepasan air empangan di Ringlet.

Kejadian itu turut memusnahkan 80 kediaman musnah dan beberapa kenderaan di kawasan penempatan Lembah Bertam itu. Setakat ini 10 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Ringlet.

Sementara itu, Mohd Zahari turut mengingatkan penduduk agar lebih peka dengan siren amaran yang dibunyikan pihak berkuasa untuk tujuan keselamatan dan arahan banjir kilat. - BERNAMA

Artikel Lain