suria

BN Guna Strategi Kempen 'Luar Kotak' - Mukhriz

YAN: Barisan Nasional (BN) akan menggunakan strategi kempen 'luar kotak' dalam usaha memenangi hati pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, formula terbaru tersebut akan mula dipraktikkan dalam siri kempen BN menjelang hari pengundian pada 4 November depan.

"Kita akan cuba gunakan pendekatan sedikit di luar kotak, kita tengok kalau cara ini berkesan atau tidak...tunggu dan lihat," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa BN yang dipengerusikan Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut pengenai pendekatan luar kotak yang dimaksudkannya Mukhriz berkata, ia bakal membabitkan pendekatan tertentu khususnya bagi mendekati pengundi.

"Ia melibatkan cara berkempen, ada juga strategi (tertentu). Saya usulkan dan Tan Sri Muhyiddin setuju serta mendapat konsensus," katanya.

Sementara itu Mukhriz yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kedah berkata, BN akan juga memperkenalkan slogan 'berani berhijrah' sebagai salah satu stretegi kempen parti itu.

PRK DUN Sungai Limau menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan wakil PAS, Mohd Azam Abdul Samat.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Azizan memegang kerusi itu selama lima penggal sejak 1995.

Beliau mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas dengan memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya daripada BN, Mohd Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.

Artikel Lain