suria

UPP Patahkan Cubaan Seludup Daun Ketum

KANGAR: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) mematahkan cubaan menyeludup 312 kilogram daun ketum selepas memeriksa sebuah kereta dan menahan seorang lelaki di kawasan perumahan Kilang Gula Felda Chuping dekat sini awal pagi Selasa.

Komander UPP Chuping ASP Syed Basri Syed Ali berkata daun-daun ketum yang dianggar benilai RM24,000 itu ditemui dalam lapan guni berwarna putih di dalam kenderaan itu. "Kereta yang dipandu lelaki berusia 24 tahun itu diperiksa pada pukul 4.20 pagi apabila didapati dalam keadaan mencurigakan," katanya sambil memberitahu bahawa daun ketum itu dipercayai untuk diseludup ke Thailand melalui pagar sempadan.

Beliau berkata kes itu dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar.

Dalam kes berasingan, Syed Basri berkata dua lelaki berumur 19 dan 36 tahun yang disyaki cuba menyeludup petrol ditahan di bandar Kangar pada pukul 1.30 tengah hari semalam.

Beliau berkata kereta jenis Ford yang dinaiki dua lelaki itu telah diubah suai dengan satu tangki tambahan di ruang tempat duduk bahagian belakang kenderaan itu yang mengisi muatan 214 liter petrol bernilai RM450.

Kes itu dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain