suria

Tujuh Ditahan Dalam Dua Serbuan Cegah Dadah

KUANTAN: Tujuh ditahan termasuk sepasang kekasih dalam dua operasi polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, Isnin.

Hasil serbuan itu, polis merampas dadah jenis heroin seberat 398.36 gram yang dianggar bernilai RM27,500.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Abdul Aziz Ahmad berkata lelaki berumur 53 tahun dan teman wanitanya berusia 32 tahun itu ditahan di dalam sebuah kereta di Jalan Seri Kemunting 2 dekat sini pada pukul 12.45 tengah hari.

"Susulan itu, polis membuat pemeriksaan di rumah suspek di Jalan Wong Ah Jang di sini pada pukul 2.15 petang dan menemui dadah jenis heroin seberat 380 gram bernilai RM25,000 di dalam tong air yang diubah suai dan diletakkan di rak kayu berhampiran garaj kereta rumahnya," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata polis percaya pasangan kekasih terbabit mula aktif menjual dadah di kawasan jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Kemunting dan bandar ini sejak awal tahun ini. Beliau berkata dalam satu lagi serbuan di sebuah rumah sewa di Kampung Jawa di sini, polis menahan empat nelayan warga Myanmar dan seorang rakyat Thailand yang dipercayai pengedar dadah.

"Hasil serbuan pada pukul 1.30 tengah hari itu, polis menemui dadah jenis heroin seberat 18.36 gram bernilai kira-kira RM2,500," katanya.

Abdul Aziz berkata hasil soal siasat mendapati suspek yang berusia dalam lingkungan 23 hingga 40 tahun itu mula aktif mengedar dadah sejak tiga bulan lepas Tiga daripada suspek juga didapati positif dadah, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain