suria

"Saya Tidak Merajuk Dengan Kedah & Akan Turun ke Sg Limau" - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Semangat dan momentum Pemilihan Umno 2013 dijangka akan membantu Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Limau.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, calon BN di Sungai Limau akan menerima gelombang positif Umno selepas berlakunya transformasi dalam pemilihan parti yang baharu saja selesai.

"Saya percaya, momentum dan semangat daripada pemilihan Umno dan pemerkasaan cawangan-cawangan kita di peringkat akar umbi akan tentukan pucuk pimpinan Umno kepada transformasi yang lebih besar.

"Momentum itu boleh membantu membawa satu gelombang positif kepada calon BN," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di sini, Isnin.

Hishammuddin yang baharu diberi mandat sekali lagi oleh perwakilan untuk mengekalkan jawatan naib presiden berkata beliau sendiri akan turun ke Sungai Limau untuk memberi sokongan pada hari penamaan calon 23 Oktober ini.

Katanya, tidak timbul isu 'merajuk' dengan Umno Kedah yang memberikan undi kepada Menteri Besar, Datuk Paduka Mukhriz Mahathir yang turut bertanding jawatan sama tetapi tewas kepadanya.

Walaupun bersaing sengit, Hishammuddin berjaya mengekalkan kedudukan dengan 101 undi bahagian bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (188) dan Datuk Seri Shafie Apdal (177) sekali gus meninggalkan Mukhriz yang mengekori rapat dengan 91 undi bahagian.

"Tidak...jauh sekali (merajuk). Kalau merajuk, kalau ada PRK di Johor nanti Datuk Mukhriz merajuk dengan Johor pula," katanya, berseloroh.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Sembrong berkata setiap calon yang masuk bertanding adalah ibarat satu keluarga dan perwakilan sudah membuat keputusan memilih pemimpin mereka.

Justeru katanya, apa yang paling penting sekarang ialah melihat ke hadapan dan paling hampir, pilihan raya di Sungai Limau.

"Kita perlu lihat ke hadapan. Yang kita berdepan (di Sungai Limau) bukan ahli Umno tapi yang kita lihat sebagai saingan politik...itu yang lebih penting," katanya.

Mengulas lanjut mengenai bahagian-bahagian yang tidak mengundinya, beliau berkata itu tidak bermakna beliau tidak mempunyai penyokong.

"Orang yang menang tak menang semua, yang kalah tak kalah semua.

"Kalau tak dapat satu undi bahagian tak bermakna saya tak ada penyokong," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain