suria

Polis Sabah Rampas 6 Kg Methamphetamine Bernilai RM1.4 Juta

KOTA KINABALU: Polis Sabah merampas dadah methamphetamine atau syabu seberat enam kilogram dianggarkan bernilai RM1.44 juta di sebuah premis di Asia City di sini, Isnin.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata dadah itu ditemui selepas polis melakukan pintasan ke atas kotak yang disyaki mengandungi dadah yang dibawa oleh seorang penghantar cepat pada kira-kira 3.15 petang.

"Pemeriksaan ke atas kotak mendapati di dalamnya terdapat 15 kotak kecil mengandungi kamera litar tertutup (CCTV) dan apabila dibuka pihak polis menjumpai 15 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar purata 400 gram setiap paket," katanya.

Pintasan itu dibuat setelah mendapat kebenaran dari Pejabat Timbalan Pendakwa Raya negeri mengikut Seksyen 27A (3) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, Selasa.

Beliau berkata rampasan dadah itu adalah susulan penangkapan seorang lelaki bersama-sama 3.8kg dadah di sebuah apartmen di Beverly Hills, Penampang pada Khamis lepas.

Hamza berkata penghantar cepat syarikat swasta berumur lingkungan 20-an itu dilepaskan selepas ujian saringan awal ke atas pemuda itu mendapatinya negatif dadah.

Beliau berkata dadah yang dirampas itu dipercayai dari negara luar untuk pasaran tempatan.

"Modus operandi ini kerap dilakukan oleh sindiket dadah antarabangsa di mana dadah tersebut disorok dalam barangan sah (iaitu CCTV dalam kes ini) bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya polis akan meningkatkan usaha mencegah kegiatan pengedaran dadah walaupun pelbagai taktik digunakan pihak sindiket.

"Pemantauan dan tindakan pengawalan laluan keluar masuk (pintu negara) akan diperketatkan oleh semua agensi penguatkuasaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain