suria

Polis Johor Selesai 27 Kes Pecah ATM, Tahan Enam Lelaki

JOHOR BAHARU: Polis berjaya menyelesaikan 27 kes memecah dan melarikan mesin juruwang automatik (ATM) di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan berikutan penahanan enam lelaki, dalam beberapa serbuan di sekitar Ulu Tiram, di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua suspek yang berumur 15 hingga 35 tahun itu ditahan dalam operasi bermula 10 pagi selepas polis bertindak atas maklumat orang awam.

"Siasatan mempercayai kumpulan itu telah menyebabkan kerugian sehingga RM2 juta menerusi 27 kes yang dilakukan di negeri terbabit dalam tempoh tiga bulan lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Selasa.

Mohd Mokhtar berkata polis turut merampas sebuah trak penunda, dua parang panjang, satu beg pakaian mengandungi enam gulung tali dan menemui semula lima mesin ATM yang dibuang ke dalam kolam terbiar di Kampung Ban Foo, dekat Ulu Tiram.

Beliau berkata polis turut menemui sebuah kenderaan di dalam ladang kelapa sawit berhampiran yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah itu.

"Namun, ia sudah musnah terbakar, dipercayai bagi menghapuskan bukti," katanya.

Menurut Mohd Mokhtar, seorang daripada suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua mereka kini direman sehingga Khamis, untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, polis kini sedang mencari seorang lagi lelaki iaitu Marie a/l Subramaniam, bernombor kad pengenalan 771213-01-5341 dan beralamat di nombor 21, Jalan Mutiara 3, Taman Gunung Emas, Ulu Tiram, di sini, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata polis menahan 10 lelaki dan merampas dua telefon bimbit bagi membantu siasatan kes penemuan mayat dua lelaki di dalam sebuah kereta di Plaza Tol Senai Utara, dekat Kulaijaya, Jumaat lepas.

Beliau berkata kesemua suspek berusia antara 21 dan 35 tahun itu ditahan dalam beberapa siri serbuan di Kulaijaya selepas polis bertindak atas maklumat berkaitan pembunuhan itu, pada pukul 3 pagi, keesokannya.

Jumaat lepas, S.Visvanathan, 48, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan M.Kalaiselvan Mudaliar, 38, dari Kuala Lumpur, ditemui mati dalam kereta Perodua Myvi berwarna merah, pada pukul 9 pagi.

Polis yang memeriksa kedua-dua mayat itu menemui kesan-kesan lebam pada badan kedua-dua mangsa yang dipercayai dihentak dengan objek keras. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain