suria

Palanivel Sangkal Dakwaan Restui Timbalan Ketua Wanita MIC

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel menyangkal dakwaan kononnya beliau memberi restu kepada seorang calon dalam pemilihan parti bulan depan.

"Restu? Tidak. Saya tidak ada merestui sesiapa. Mengarut! Mana boleh saya pergi dan merestu orang atau merestui mana-mana bahagian? Tiada siapapun yang merestui sesiapa," katanya.

Beliau mengulas dakwaan kononnya beliau memberi restu kepada Timbalan Ketua Wanita MIC Datin Dr C. V. Premakumari, berhubung hasrat beliau untuk bertanding jawatan Ketua Wanita.

Palanivel juga dilaporkan menyuarakan keyakinannya bahawa Premakumari akan menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin nombor satu sayap parti itu jika perwakilan memberikan mandat kepada beliau.

Berhubung dakwaan itu, presiden MIC menegaskan bahawa Premakumari ada mengirim kepada beliau khidmat pesanan ringkas (SMS) dan beliau hanya membalas SMS itu. "Bagaimanapun, saya tidak memberi restu ataupun persetujuan. Sekiranya terdapat pertandingan dalam pemilihan sayap Wanita... biarlah. "Saya lebih mengambil berat tentang mesyuarat bahagian saya. Wanita adalah fenomena berbeza. Mereka mungkin menang tanpa bertanding, dan kesemua ini bukan dalam lingkungan skop kami," kata Palanivel pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pengurusan dan Kelestarian Alam Sekitar 2013 di sini, Selasa.

Terdahulu ketika berucap, Palanivel, yang juga menteri sumber asli dan alam sekitar, menggesa kumpulan industri agar mengambil inisiatif untuk mencari kaedah menjalankan perniagaan dan perkhidmatan yang menghalang pencemaran atau mengurangkan penggunaan sumber semula jadi yang terhad.

Beliau berkata langkah kawal selia kendiri, dengan menerapkan pelbagai piawaian kesukarelaan dalam pengurusan dan kelestarian alam sekitar, perlu menjadi pelengkap kepada aktiviti penguatkuasaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain