suria

Kerajaan Tidak Berhasrat Salahkan Syarikat Tarik Diri Taja Konsert K-Pop

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat menyalahkan mana-mana syarikat yang menarik diri pada saat akhir berhubung isu penajaan konsert K-pop yang menelan belanja RM1.6 juta pada Hari Belia Negara (HBN) 2012.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata keputusan itu dibuat kerana ia adalah program kerajaan bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan golongan belia kepada negara.

"Unit pemasaran dan penajaan HBN telah mendekati beberapa syarikat korporat dalam usaha mendapatkan penajaan bagi konsert itu.

"Walaupun pada mulanya terdapat pengesahan secara lisan namun kementerian tidak boleh mengambil tindakan jika syarikat menarik diri pada saat akhir kerana penajaan diberikan atas dasar inisiatif tanggungjawab sosial korporat," katanya di sini.

Khairy berkata demikian dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Tony Pua Kiam Wee (DAP-Petaling Jaya Utara) pada Isnin, yang ingin tahu siapa penaja yang menarik diri setelah bersetuju membiayai konsert itu.

Khairy menjelaskan keputusan untuk mengadakan konsert itu dibuat secara kolektif melalui sebuah jawatankuasa dan turut dipersetujui Jemaah Menteri.

"Ia dipersetujui Jemaah Menteri memandangkan trend K-pop merupakan antara tarikan belia pada masa itu dan mampu menarik kehadiran belia daripada pelbagai latar belakang," katanya.

Beliau juga berkata jika dilihat pada pulangan ekonomi yang diperoleh sepanjang HBN 2012 berlangsung, perbelanjaan RM1.6 juta itu adalah suntikan modal untuk menjana pulangan ekonomi yang lebih besar.

"Anggaran pengunjung yang hadir adalah 2.4 juta orang dan jika kita lihat secara mata kasar seorang pengunjung berbelanja RM10, maka dianggarkan hampir RM24 juta dibelanjakan oleh pengunjung yang memberi pulangan ekonomi dan keuntungan kepada peniaga dan pembekal," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain