Kekalahan Mukhriz Bukan Kerana Kepimpinannya Ditolak Ahli Umno - Semasa | mStar

Kekalahan Mukhriz Bukan Kerana Kepimpinannya Ditolak Ahli Umno

YAN: Kekalahan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bagi merebut jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti itu Sabtu lepas, bukan kerana kepimpinannya ditolak anggota parti itu.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata keputusan minggu lepas menunjukkan semua anggota parti menerima baik kepimpinan Mukhriz kerana "peluang itu akan diperoleh satu hari nanti". "Tidak betul Umno tidak menerima beliau. Keputusan minggu lepas sudah tunjukkan kepimpinan beliau diterima baik bukan saja di Kedah malah di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan Wanita Umno di Taman Mahsuri di Sungai Limau Dalam dekat sini, Selasa.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali yang mendakwa kekalahan Mukhriz dalam perebutan jawatan Naib Presiden Umno adalah kerana ditolak ahli parti itu.

Shahrizat berkata berkata Wanita Umno menerima Mukhriz dengan hati terbuka selaku orang muda yang pertama kali bertanding merebut jawatan itu bersama-sama pemimpin berpengalaman yang lain.

Beliau juga turut menafikan kekalahan Mukhriz mempunyai kaitan dengan 'Mahathirisme', malah, katanya, Menteri Besar Kedah itu mempunyai masa depan yang cerah dalam Umno.

"Akan sampai peluang untuk beliau satu hari nanti," katanya.

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata Mukhriz sudah membuktikan kemampuannya mendapat sokongan kuat walaupun baru menawarkan diri untuk jawatan Naib Presiden itu, dan ia merupakan satu pengiktirafan buat Mukhriz.

"Saya pasti pimpinan tertinggi parti tidak akan mengetepikan sumbangan dan pandangan beliau. Sebagai Menteri Besar sudah tentu beliau adalah seorang daripada pemimpin besar dalam UMNO," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program turun padang di Pekan Simpang Tiga, dekat sini.

"Saudara Azmin yang tidak dipilih sebagai Menteri Besar Selangor, adakah itu bermakna dia ditolak PKR...tak payah lah buat komen yang terlalu berpolitik," katanya.

Pada pemilihan jawatan Naib Presiden Umno pada Sabtu lepas, Mukhriz mendapat undi daripada 93 bahagian dan sebanyak 57,189 undi dari perwakilan dan menduduki tempat keempat dalam pertandingan enam penjuru.

Mukhriz memberi persaingan sengit kepada penyandang jawatan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menerima undi dari 101 bahagian dan menerima 56,604 undi daripada perwakilan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Juruteknik Mada Disyaki Lemas Belum Ditemui

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

Artikel Lain