suria

Dakwaan Polis Bersahabat Dengan Kumpulan Penjenayah Tuduhan Liar

KUALA LUMPUR: Dakwaan anggota Parlimen DAP bahawa pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersahabat dengan kumpulan penjenayah atau gangster adalah satu tuduhan liar, kata seorang penyokong kerajaan.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang turut meminta Anggota Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen supaya mengemukakan bukti, menyifatkan dakwaan itu sebagai merendah dan menjatuhkan martabat anggota keselamatan negara.

"Tadi Yang Berhormat Bandar Kuching sebut, saya dengar kumpulan gangster bersahabat dengan polis, ini tuduhan liar, yang merendah dan menjatuhkan martabat polis. "Jika betul ada bukti, tunjuk bukti," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Chong kemudiannya bangun memberitahu Dewan bahawa beliau sudah bersedia untuk memberikan contoh dan bukti terhadap kenyataannya itu tetapi tidak berkesempatan apabila Anggota Parlimen Lenggong itu bangun untuk mencelah.

Bagaimanapun, Chong ketika mengemukakan 'bukti' mengaitkan kebanyakan kereta yang bercermin gelap terlibat dengan penjenayah.

Sambil memberitahu kereta yang bercermin gelap yang dimiliki Perdana Menteri dan hakim sebagai terkecuali, beliau mendakwa kereta itu mempunyai lambang kelab polis dan kelab pesara polis yang berkaitan dengan pasukan keselamatan negara.

"Kebanyakan kereta itu ada lambang, di mana ada (lambang) kelab polis, kelab pesara polis yang berkaitan dengan polis. Beberapa kali saya tengok ada 'road block', kereta yang ada lambang itu walaupun bercermin gelap, tetapi langsung tidak diperiksa, apabila polis tengok lambang itu, jalan sahaja.

"Aduan yang diterima saya hari ini adalah banyak kes pecah rumah berlaku selepas kereta bercermin gelap meronda di kawasan perumahan mereka. Bukankah itu ada satu kaitan dengan kegiatan jenayah? Apa sebabnya mereka perlu kereta bercermin gelap kalau tidak buat apa-apa salah?," dakwanya.

Beliau juga mendakwa kereta bercermin gelap semakin hari semakin banyak di Kuching dan polis tidak berbuat apa-apa berhubung perkara itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain