suria

Subsidi Tertentu Mungkin Diturunkan Dalam Belanjawan 2014

KOTA BARU: Kerajaan berkemungkinan menurunkan subsidi tertentu dalam Belanjawan 2014, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek.

"Bersedialah menghadapi kemungkinan subsidi diturunkan. Saya tidak mahu nyatakan, biarlah PM (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) mengumumkannya," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan kursus Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil 2013 di sini, Isnin.

Hasan berkata pembentangan Belanjawan 2014 Jumaat ini akan tetap memberikan keutamaan kepada hak pengguna walaupun bakal memberikan kejutan tertentu.

"Kita akan lindungi pengguna dan mereka akan sentiasa kita lindungi. Pada bajet itu sama-sama kita tunggu, bermacam-macam pendekatan kita ambil.

"Bajet ini adalah bajet rakyat. Persatuan pengguna diambil pandangan. Kita pergi ke peringkat akar umbi dan buat dialog bajet dengan pengguna," katanya.

Hasan berkata pihaknya akan turun padang bertemu rakyat untuk memberikan penerangan mengenai belanjawan itu nanti dan berharap semua persatuan pengguna turut membantu kerajaan dalam usaha membuat penerangan.

Katanya kerajaan tidak mahu belanjawan itu dimanipulasi pembangkang dan menyalahtafsirkan niat kerajaan yang baik.

Sementara itu, Hasan berkata seramai 54,634 penjaja dan peniaga kecil berdaftar di seluruh Kelantan mendapat perlindungan insurans melalui Pelan Insurans 1Malaysia Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional (PIMPIN) yang telah berkuatkuasa pada 1 Januari lalu. - BERNAMA

Artikel Lain