suria

Shafie Azam Kerja Kuat, Jadikan Kepercayaan Perwakilan Sebagai Perangsang

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kepercayaan perwakilan Umno di seluruh negara yang memilihnya mengekalkan jawatan kanan parti yang dipegang sejak 2009 itu menjadi perangsang untuk beliau bekerja lebih kuat dan berkhidmat dengan rakyat.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata masih banyak pendekatan perlu dilakukan dalam usaha meningkatkan ekonomi Bumiputera terutama di kawasan luar bandar.

"Ini adalah petanda yang memberi perangsang kepada saya untuk bekerja lebih kuat kerana saya yakin masih banyak keperluan masyarakat luar bandar untuk kita bantu dan bimbing bagi membangunkan mereka dan kawasan luar bandar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Organisasi Pembangunan Luar Bandar Afrika-Asia (AARDO) Sesi ke-64, di sini Isnin.

Mohd Shafie, yang merupakan pemimpin pertama dari Sabah memegang jawatan kanan parti itu memperoleh 174 undi, untuk terus bergandingan dengan dua lagi pemimpin parti yang turut mengekalkan jawatan berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (185 undi) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (100 undi) bagi penggal 2013-2016.

Mengenai barisan kepimpinan tertinggi Umno yang baharu, Mohd Shafie berkata tiba masanya untuk mereka bekerja kuat dalam memperkasa dan meneruskan transformasi bagi memastikan kekuatan parti dapat dipertingkatkan.

Beliau berkata menang atau kalah bukan menjadi persoalan kerana ia adat pertandingan, namun apa yang lebih penting, setiap anggota Umno perlu bersatu padu dan merapatkan barisan bagi membentuk keutuhan parti.

"Kita tidak harus berhenti berusaha untuk mentransformasi parti supaya ia menjadi wadah yang boleh disertai dan menarik minat bukan sahaja golongan muda tetapi juga masyarakat yang bukan ahli Umno.

"Sekiranya perubahan ini adalah perubahan yang kita lakukan dalam usaha memperkasa parti, saya yakin ramai yang akan menyertainya (Umno)," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain