suria

Saman AES Tertunggak, Telah Dibayar Akan Dibentang Di Kabinet - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Saman-saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang tertunggak dan telah dibayar sebelum penyelarasan saman AES diumumkan 18 September lalu akan dibentangkan kepada Kabinet untuk keputusan lanjut.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya akan memberikan beberapa opsyen mengenai isu itu untuk dinilai Kabinet sebelum membuat sebarang penentuan.

"Perkara yang masih lagi tertangguh ialah berhubung kait saman tertunggak yang mana jika kita buat keputusan sudah tentu menyentuh saman-saman yang telah dibayar sebelum ini.

"Beberapa opsyen telah kita bincangkan dan bersama hasil yang diperolehi tiga jawatankuasa kecil pelaksanaan AES sebelum ini akan dibawa ke Kabinet dalam masa satu atau dua minggu ini supaya dapat dilihat pilihan-pilihan untuk dibuat penentuan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan AES di sini, Isnin.

Tiga jawatankuasa kecil berkenaan ialah Jawatankuasa Kecil Kewangan, Jawatankuasa Kecil Operasi dan Jawatankuasa Kecil Perundangan yang mana ketiga-tiganya terletak di bawah Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan bagi menangani isu pelaksanaan AES.

Hishammuddin berkata agak sukar membuat keputusan berhubung saman tertunggak dan telah dibayar kerana ia melibatkan banyak agensi dan kementerian perlu meneliti serta membuat kajian terperinci.

Pun begitu katanya, hasil yang akan diputuskan nanti akan mengambil kira kepentingan orang ramai dan situasi menang-menang untuk semua.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bilangan atau opsyen yang akan dikemukakan di Kabinet.

"Banyak kemungkinan dan kebarangkalian (keputusan) tapi saya percaya ia akan jadi 'win-win situation'.

"Kalau kurangkan (kadar saman) pun ikut kadar apa, dari tempoh mana...Apa yang akan jadi kepada mereka yang bayar lebih awal," katanya.

Hishammuddin yang juga menteri pertahanan berkata tiga jawatankuasa telah berjaya menyelesaikan isu-isu lain berhubung AES yang timbul sebelum ini dan berharap orang ramai berpuas hati.

"Kita telah dengan keluhan dan permintaan orang ramai yang tak mahu lihat isu pelaksanaan saman diswastakan atau denda dikutip oleh syarikat-syarikat swasta.

"Tiga jawatankuasa telah berkerja rapat dengan agensi-agensi berkepentingan untuk penyelesaian isu ini," katanya.

Antara yang berjaya diputuskan jawatankuasa ini termasuklah menurunkan kadar kompaun saman kepada RM150, pengambilalihan operasi AES oleh kerajaan dan penguatkuasaan dijalankan bersama oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Artikel Lain