suria

Riot Nafi Masih Wujud Jurang Janita Dalam Penawaran Pekerjaan Di Negara Ini

SHAH ALAM: Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot menafikan masih wujud jurang jantina dalam penawaran pekerjaan di negara ini seperti yang dilapor oleh Indeks Modal Insan terbitan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2013 baru-baru ini.

Beliau berkata Malaysia telah mencapai kadar melebihi 46 peratus pekerja wanita dalam pelbagai industri termasuk di peringkat pembuat keputusan biarpun ada daripadanya yang berhenti kerja bagi menguruskan keluarga.

"Saya mempunyai data terperinci mengenai hal ini dan apa yang kita capai adalah membanggakan kerana kadar pekerja lelaki dan wanita hampir sama dan ini menunjukkan tiada diskriminasi dalam penawaran pekerjaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perundangan anjuran Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan portal berita yang memetik Indeks Modal Insan 2013 oleh WEF sebagai meletakkan Malaysia pada tahap terendah bagi penunjuk jurang jantina dalam penglibatan ekonomi.

Namun begitu, laporan itu memuji Malaysia kerana masih mendahului senarai negara berpendapatan sederhana tinggi dan diletakkan di tangga ke-22 berbanding 122 negara lain seluruh dunia.

Kata Riot, Malaysia juga mempunyai ramai wanita di peringkat pembuat keputusan dan kebolehan wanita kini banyak membantu kepada perkembangan ekonomi negara. - BERNAMA

Artikel Lain