suria

PM Ajak Ahli Umno Bersatu Kukuhkan Parti

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak semua anggota Umno bersatu mengukuhkan parti dan berusaha membina Malaysia ke arah yang lebih baik.

Presiden Umno itu dalam entri terbaharu beliau di Facebook pada Isnin juga mengucapkan tahniah kepada semua calon yang memenangi jawatan naib presiden, anggota Majlis Tertinggi dan Bahagian pada pemilihan parti Sabtu lepas.

"Kemenangan ini adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas dengan ikhlas serta jujur demi bangsa, agama dan negara," katanya lapor Bernama.

Pada pemilihan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengekalkan gandingan mereka sebagai naib presiden Umno untuk penggal 2013-2016.

Sementara itu, 10 muka baharu termasuk dua wanita antara 25 yang dipilih menganggotai MT untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Najib turut melahirkan rasa syukur kerana Umno berjaya mencatat sejarah menggunakan sistem pemilihan yang lebih terbuka dan demokratik.

"Semoga amalan ini terus menjadi tunjang parti yang kita sayangi ini," katanya.

Artikel Lain