suria

Perlembagaan Tidak Tetapkan Keperluan Adakan Rundingan Kajian Semula Persempadanan

KUALA LUMPUR: Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan keperluan untuk mengadakan rundingan bagi melaksanakan kajian semula persempadanan dengan mana-mana parti politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan Bahagian Dua Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan, terdapat ruang untuk memberi cadangan atau membuat bantahan ke atas syor yang dicadangkan oleh SPR semasa tempoh pameran cadangan kajian semula persempadanan itu dibuat.

"Pihak-pihak yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk memberi cadangan atau membuat bantahan ke atas syor yang dicadangkan itu ialah kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan yang keseluruhan, atau sebahagian kawasannya termasuk dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang disentuh dalam syor itu.

"Atau sekumpulan orang, seramai 100 orang atau lebih yang namanya ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang ingin tahu pendekatan kerajaan untuk memenuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan berhubung ulang kajian bahagian-bahagian pilihan raya dan sejauh mana kesediaan bagi merundingkan persempadanan semula dengan pembangkang.

Shahidan berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengemukakan permohonan sebanyak RM7.1 juta kepada Kementerian Kewangan melalui peruntukan Belanjawan 2014 untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan yang akan datang. - BERNAMA

Artikel Lain