suria

Peralihan Ketua Umno Bahagian Jerai Tidak Jejas Persiapan BN Di Sungai Limau

YAN: Peralihan pucuk pimpinan Umno bahagian Yan memberi kesan positif kepada Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Yan.

Ketua Umno bahagian Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kemenangan beliau ke atas penyandang Datuk Mohd Shuhaimi Abdullah tidak mewujudkan dua kem Umno dalam bahagian itu sebagaimana didakwa pihak tertentu.

"Mereka buat spekulasi sekadar menguji psikologi kita menjelang PRK Sungai Limau. Ingin saya jelaskan pemilihan Umno tiga hari lepas memberi semangat untuk kita bekerja lebih keras dan membuktikan kesepaduan kita menghadapi PRK itu.

"Kekalahan Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah merangkap Menteri Besar bagi jawatan naib presiden Umno juga tidak memberi kesan kepada BN menghadapi PRK itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bulanan kepada 300 penerima KAR1SMA DUN Sungai Limau di sini, Isnin.

Penamaan calon PRK itu ditetapkan Rabu ini manakala hari mengundi pada 4 Nov. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September lepas.

Mengenai isu kalimah Allah, Jamil Khir mahu setiap pihak merujuk kenyataan Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail semalam yang mempunyai budi bicara melarang penggunaan perkataan yang mungkin memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.

"Semua pihak wajar patuh pada perintah mahkamah. Penjelasan Peguam Negara hendaklah diterima supaya keamanan negara terus terjamin. Ini adalah pendekatan yang cukup wajar," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penerbangan pulang pertama jemaah pada hari ini membawa 300 orang jemaah manakala penerbangan terakhir dijangka pada 17 November.

Kata Jamil Khir, beliau dimaklumkan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman bahawa persiapan membawa pulang jemaah haji diselia dan disusun dengan baik.

Katanya pusat transit Tabung Haji di Madinatul Hujjat di Jeddah bersedia menerima kira-kira 23,000 jemaah Malaysia.

Menurutnya dua jemaah yang dilaporkan sakit dan sedang dirawat di hospital kerajaan Arab Saudi hanya akan dibenarkan pulang sekiranya doktor membenarkan.

Bagaimanapun pegawai Tabung Haji melawat mereka mengikut jadual yang ditetapkan serta memantau perkembangan mereka, kata Jamil Khir. - BERNAMA

Artikel Lain