suria

Pemandu Maut Lori Terbenam Dalam Lombong

SERI ISKANDAR: Seorang pemandu lori maut apabila lorinya terbenam ke dalam lombong ketika dia sedang menambak tanah di Taman Lake Ville, Bandar Universiti di sini kira-kira 11.30 pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata mangsa dikenali sebagai Wong Nyok Peng, 55.

"Kejadian dipercayai berlaku ekoran struktur tanah menjadi lembut disebabkan hujan lebat yang turun sejak beberapa hari lepas.

"Mangsa dikatakan menyedari keadaan tanah yang tiba-tiba mendap dan cuba keluar dari lorinya namun gagal menyebabkan mangsa bersama-sama lorinya tenggelam ke dasar lombong, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar Zaiful Efendi Ahmad berkata mayat mangsa ditemui pada kedalaman tujuh meter. - BERNAMA

Artikel Lain