suria

Muhyiddin Nafi Keputusan Pagoh Isyarat Kepada Bahagian Kekalkan Penyandang Naib Presiden

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan keputusan pemilihan di Bahagian Pagoh sebagai isyarat kepada bahagian-bahagian lain untuk mengekalkan tiga penyandang Naib Presiden Umno.

Beliau berkata setiap anggota perwakilan yang mengundi semalam mempunyai pandangan tersendiri untuk menentukan calon yang difikirkan layak menjawat jawatan ketiga tertinggi dalam parti itu.

"Saya tidak fikir mereka menunggu isyarat kerana proses pemilihan berjalan serentak dalam masa yang sama. Kalau sistem lama dahulu, ia hendak tengok di bahagian Presiden, Timbalan Presiden apa isyarat.

"Kali ini mana ada isyarat. Semua mesyuarat dalam masa yang sama dan mereka membuat keputusan berdasarkan pertimbangan dan kebijaksanaan mereka sendiri," katanya dalam sidang media di Palm Garden Golf Club di sini, Ahad.

Pada pemilihan semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengekalkan gandingan mereka sebagai Naib Presiden Umno untuk penggal 2013-2016.

Tiga penyandang jawatan naib presiden Umno itu mendapat mandat baharu sebagai 'orang kanan' kepada Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin, selaku Timbalan Presiden, untuk memimpin parti tunjang Barisan Nasional itu.

Pada pemilihan itu, seramai 146,500 perwakilan dari sejumlah 191 bahagian Umno mengundi mengikut sistem 'Electoral College' bagi memilih tiga naib presiden baharu.

Mengikut sistem itu, setiap seorang daripada tiga calon yang memperoleh bilangan undi paling banyak daripada perwakilan bahagian dikira meraih satu undi daripada bahagian berkenaan.

Muhyiddin juga menolak dakwaan kenyataan beliau berkaitan Datuk Mukhriz Tun Mahathir dalam satu akaun Facebook palsu pagi semalam memberi kesan terhadap undian Menteri Besar Kedah itu dalam merebut slot naib presiden parti.

Menurutnya kenyataan itu dibuat bukan sahaja untuk mencemarkan nama Mukhriz malah nama beliau juga.

"Sesiapa pun baca benda itu, mereka tahu ini tidak akan datang daripada Timbalan Presiden. Ini memang penipuan yang dibuat oleh sesiapa yang tidak bertanggungjawab.

"Saya tidak fikir itu membawa kesan dan dari sudut itu, ahli-ahli parti boleh menilai sendiri. Mereka tidak akan terpengaruh dengan hal-hal sebegitu," katanya.

Mengenai trend pengundian dalam proses pemilihan kali ini, Muhyiddin berkata faktor populariti mempengaruhi jumlah undi terhadap calon yang bertanding.

Bagaimanapun, katanya pemilihan calon oleh perwakilan turut mengambil kira pertimbangan terhadap kelayakan calon yang tidak digagahi oleh mana-mana pihak atau kuasa.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata keputusan yang dicapai dalam pemilihan pucuk pimpinan parti kali ini membuktikan Umno adalah sebuah parti yang benar-benar inklusif, demokratik dan terbuka.

Beliau berkata dengan sistem baharu itu, Umno berjaya menterjemahkan semangat perlembagaan parti yang memberi ruang dan peluang seluasnya kepada anggota untuk bertanding, menawarkan diri dan memilih kepimpinan yang diyakini mampu melaksanakan agenda transformasi negara.

Justeru, beliau menyeru agar semua kepimpinan dan anggota parti sama ada yang menang atau kalah pada pemilihan kali ini, supaya bertaut semula untuk memastikan semangat kerjasama dan perpaduan kembali kukuh.

"Tentulah agenda yang akan kita laksanakan untuk tempoh mendatang ini cukup besar, bukan saja dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14, tetapi proses transformasi nasional dan agenda untuk bangunkan negara sebagai sebuah negara maju adalah satu cabaran besar.

"Sebab itu kita hendak melihat Umno sebagai sebuah parti yang unggul, kukuh dari segi kerjasama dan perpaduannya dan tidak ada isu atau masalah yang boleh mengekang dan menghalang usaha kita," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain