suria

Menteri Dalam Negeri Boleh Larang Penggunaan Perkataan Memudaratkan Keselamatan Negara - Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Inti pati daripada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes "The Herald" ialah Menteri Dalam Negeri mempunyai budi bicara untuk melarang penggunaan perkataan yang boleh memudaratkan atau berkemungkinan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Dalam kenyataan pada Ahad, Abdul Gani berkata selagi budi bicara itu dilaksanakan secara mengikut undang-undang, wajar, rasional dan mengikut kadarnya, maka mahkamah tidak akan campur tangan terhadap budi bicara menteri berkenaan dalam perkara ini.

"Jabatan Peguam Negara menasihati orang ramai supaya menghormati dan mematuhi keputusan Mahkamah Rayuan serta mengelak daripada membuat sebarang kenyataan yang boleh menjurus kepada perbuatan menghina mahkamah," katanya.

Abdul Gani membuat kenyataan itu sebagai respons terhadap penghakiman pada 14 Oktober yang membenarkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 31 Disember 2009.

Mahkamah Tinggi itu meluluskan permohonan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur (Titular) bagi mendapatkan semakan semula kehakiman terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Jan 2009, yang melarang Titular daripada menggunakan perkataan 'Allah' dalam teks bahasa Melayu majalah The Herald.

Abdul Gani menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan itu hanya terhad kepada penerbitan teks berbahasa Melayu dalam majalah tersebut.

Menurut beliau, dalam perenggan 30 penghakimannya, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim membuat keputusan bahawa Al-Kitab dan majalah itu adalah dua penerbitan yang berbeza sama sekali.

"Al-Kitab adalah versi Bible dalam bahasa Melayu bagi kegunaan penganut Kristian di gereja, manakala The Herald merupakan akhbar dalam talian yang boleh diakses oleh pembaca beragama Islam dan bukan Islam," katanya.

"Hakim itu seterusnya menyatakan bahawa oleh itu, kebenaran yang diberi menteri berkenaan bagi percetakan dan penerbitan Al-Kitab, yang mengandungi perkataan 'Allah', tidak boleh diambil kira sama seperti yang merujuk kepada The Herald," kata Abdul Gani.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan dengan sebulat suara memutuskan bahawa perlindungan dari segi perlembagaan yang diberi kepada seseorang dalam mengamalkan agamanya, terhad kepada amalan yang integral dan menjadi bahagian penting bagi sesuatu agama.

"Mahkamah itu memutuskan bahawa penggunaan perkataan 'Allah' dalam versi bahasa Melayu The Herald bagi merujuk kepada 'Tuhan', bukan merupakan bahagian integral atau bahagian penting dalam agama Kristian dan oleh itu, tidak mewajarkannya diberi jaminan di sisi perlembagaan mengikut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan," jelas beliau.

Abdul Gani berkata Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan itu atas alasan menteri berkenaan tidak bertindak melebihi kuasa dan fungsi statutorinya mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Dalam perenggan 42 penghakimannya, Yang Arif Mohamed Apandi Ali memutuskan bahawa mengikut fakta dan keadaan kes, penggunaan perkataan 'Allah' dalam versi bahasa Melayu The Herald, tanpa ragu-ragu berpotensi mengganggu tempo kehidupan masyarakat Malaysia," katanya.

Katanya lagi, dalam perenggan 39 dan 40, Hakim Abdul Aziz memutuskan bahawa pertimbangan menteri itu tentang keselamatan negara dan ketenteraman awam, tidak hanya terhad kepada gangguan sebenar terhadap ketenteraman atau kesejahteraan awam semata-mata.

Menurut beliau, dalam kes ini, peristiwa yang berlaku selepas mahkamah membuat keptusan itu menunjukkan bahawa menteri berkenaan mempunyai kewajaran tentang kebimbangan beliau berhubung tindakan The Herald menggunakan perkataan 'Allah' sebagai tafsiran bagi perkataan Tuhan atau konsep ketuhanan kerana ia boleh menyentuh sesitiviti agama serta berpotensi menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

Abdul Gani juga berkata perenggan 27 penghakiman bertulis Yang Arif Mohamed Apandi menyebut bahawa keputusan itu dibuat dalam lingkungan fungsi dan kuasa statutori menteri berkenaan serta dalam bidang kuasa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Yang Arif Abdul Aziz, dalam perenggan 11 penghakimannya berkata setelah menimbang dengan amat teliti terhadap undang-udang yang boleh diguna pakai berhubung pelaksanaan budi bicara dan alasan yang dikemukakan, keputusan menteri berkenaan didapati munasabah dan tidak bercanggah dengan prinsip ketidakadilan, pelanggaran prosedur, perkadaran dan tidak rasional," jelas beliau. - BERNAMA

Artikel Lain