suria

Kerajaan Negeri Kaji Cadangan Pembinaan IPT Di Pulau Tuba

LANGKAWI: Kerajaan Kedah akan mengkaji terlebih dahulu cadangan membina sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) berteraskan pengajian agama di Pulau Tuba dalam kepulauan Langkawi yang dicadangkan kerajaan negeri sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Badrul Hisham Hashim berkata kajian itu mengandungi beberapa faktor termasuk sumber kewangan kerajaan negeri dan kepentingan mewujudkan universiti berkenaan.

"Buat masa ini cadangan pembinaan universiti itu ditangguh terlebih dahulu oleh kerajaan walaupun trend masa kini di kalangan ibu bapa terhadap pendidikan agama diutamakan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas Pulau Tuba di sini, Isnin.

Mengenai draf rancangan kawasan khas Pulau Tuba, beliau berkata ia merupakan pelan tindakan dan panduan pada Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) sebagai Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta bagi jangkamasa 2012-2017.

Katanya ini selaras dengan Rancangan Struktur Negeri (RSN) Kedah dan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Langkawi 2020.

Untuk tujuan itu, satu rancangan telah dibuat bagi memajukan Pulau Tuba sebagai pulau kediaman dan pelancongan yang sejahtera dan mampan.

Badrul Hisham berkata rancangan kawasan khas itu mencadangkan beberapa projek dan program pembangunan berlandaskan tiga teras pembangunan utama iaitu Pembangunan Fizikal Pengurusan Sumber, Pembangunan Ekonomi dan Memperkasa Komuniti Tempatan.

Projek-projek yang dirancang itu menjadikan Pulau Tuba sebagai destinasi tarikan pelancongan yang mesti dilawati dengan mengekalkan khazanah semula jadi yang dimilikinya, katanya.

Beliau berkata program bina insan akan diterapkan kepada penduduk Pulau Tuba bagi mereka membuat persediaan menghadapi usaha kerajaan menjadikan Pulau Tuba sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Sementara itu, beliau mengarahkan MPLBP mengadakan tempat khas untuk pembuangan sampah bagi meningkatkan tahap kebersihan di Pulau Tuba. - BERNAMA

Artikel Lain