suria

Bot Laju Bawa Pati Terbalik Ketika Elak Ditahan Polis Marin

SANDAKAN: Sebuah bot laju membawa lima pendatang tanpa izin (Pati) terbalik ketika dikejar bot peronda Polis Marin di sungai Pitas Nunuyan Darat dekat sini, Isnin.

Kelima-lima wanita Filipina berusia 24 hingga 36 tahun itu terhumban ke sungai dan diselamatkan anggota polis marin, manakala juragan bot melarikan diri.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Sabah ACP Mohamad Madun berkata polis marin terserempak dengan bot laju itu pada pukul 12.45 pagi dan dipandu laju sebaik sahaja cuba dihampiri.

Juragan bot terjun ke sungai menyebabkan bot hilang kawalan lalu terbalik.

"Kesemua wanita itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Beliau berkata siasatan mendapati bot laju itu dalam perjalanan membawa masuk wanita berkenaan secara haram ke daerah ini. - BERNAMA

Artikel Lain