suria

Ancaman Pengganas Kiram Masih Wujud Walaupun Jamalul Kiram III Sudah Meninggal

KUALA LUMPUR: Ancaman pengganas Kiram terhadap negara ini masih wujud meskipun ketuanya Jamalul Kiram III meninggal dunia pada Ahad, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Berdasarkan maklumat perisikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat tujuh individu yang sedang berebut untuk mengetuai kumpulan pengganas yang dikatakan mewarisi 'Kesultanan Sulu' berkenaan, katanya.

Meskipun nama ketujuh-tujuh individu itu tidak didedahkannya, namun PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diarahkan untuk berada pada kedudukan bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan, katanya.

"Daripada kematian Jamalul, kita tidak boleh menganggap pencerobohan pengganas Kiram akan tamat, tambahan terdapat tujuh individu yang merasakan mereka berkelayakan mengambil alih 'Kesultanan Sulu' ini.

"PDRM dan ATM akan memantau dengan dekat kerana apa yang berlaku pada Jamalul Kiram bukan tindakan peribadi beliau semata-mata tetapi yang kita khuatiri ada 'tangan ghaib' yang ada di belakangnya menyebabkan kumpulan pengganas berkenaan memasuki negara kita melalui Lahad Datu, Sabah," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Pada Ahad media melaporkan, Jamalul Kiram meninggal dunia di sebuah hospital di Manila, Filipina, kerana masalah organ.

Ahmad Zahid berkata pihak keselamatan negara tidak boleh terlalu selesa memikirkan selepas kematian Jamalul tidak akan berlaku sebarang tindakan oleh mereka yang akan mengambil alih tempatnya.

Februari lalu, pasukan keselamatan Malaysia melancarkan 'Operasi Daulat' untuk menghapuskan pengganas berkenaan selepas rundingan selama sebulan untuk menggesa mereka berundur gagal.

Dalam operasi itu, 10 anggota keselamatan negara maut manakala 68 anggota pengganas ditembak mati, 173 ditahan dan beberapa lagi pengganas Kiram melarikan diri.

Dalam perkembangan lain Ahmad Zahid berkata keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan berkaitan penggunaan kalimah Allah hanya tertakluk kepada penerbitan akhbar mingguan Katolik 'The Herald' sahaja.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya membuat keputusan bahawa 'The Herald', dilarang daripada menggunakan kalimah Allah pada 14 Oktober lepas apabila membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah 'Allah' bagi merujuk kepada Tuhan. - BERNAMA

Artikel Lain