suria

Umno Tubuh Jawatankuasa Khas Teliti Bantahan

KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi meneliti permasalahan dan bantahan yang timbul sepanjang perjalanan Pemilihan Umno 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali berkata jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Majlis Tertinggi (MT) itu akan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh.

"Selepas berakhirnya pemilihan ini, pasti akan ada banyak masalah berkenaan pemilihan yang akan timbul di cawangan, bahagian dan permasalahan lain.

"Justeru, pihak Majlis Tertinggi telah pun menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan melihat kepada semua bantahan yang dihantar dan dibangkitkan," kata Tajol Rosli pada sidang akhbar semasa mengumumkan keputusan pemilihan MT di Menara Dato' Onn di sini, Ahad.

Mengulas lebih lanjut mengenai jawatankuasa itu, Ab Rauf berkata jawatankuasa berkenaan akan menyiasat sesuatu bantahan yang diterima sebelum mengambil tindakan sekiranya laporan itu didapati mempunyai asas.

"Buat masa ini kami belum menerima sebarang bantahan daripada mana-mana pihak dan adalah menjadi kelaziman sekiranya ada bantahan, ia akan mula dihantar selepas pemilihan," katanya.

Beliau berkata buat masa ini pihaknya belum menetapkan sebarang tarikh akhir untuk mengemukakan bantahan, namun akan meneliti semua laporan yang diterima dalam tempoh yang munasabah.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata ibu pejabat dan Jawatankuasa Pemilihan Umno turut akan meneliti semua cadangan, pandangan dan kritikan yang membina bagi menambah baik kaedah pemilihan baharu yang diguna pakai.

"Ibu pejabat mengalu-alukan dan menerima semua pandangan agar kaedah ini dapat ditambah nilai bagi melicinkan pemilihan pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan ibu pejabat berpuas hati dengan perjalanan dan pencapaian kaedah pengundian 'electoral college' yang pertama kali diguna pakai dalam pemilihan itu. - BERNAMA

Artikel Lain