suria

Umno Kepala Batas Rancang Tubuh Institusi Pembangunan Kepimpinan Tun Abdullah

KEPALA BATAS: Umno Bahagian Kepala Batas merancang untuk menubuhkan sebuah Institusi Pembangunan Kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini untuk melahirkan lebih ramai pemimpin yang mempunyai perwatakan dan pemikiran seperti bekas perdana menteri itu.

Ketua Umno Bahagian Kepala Batas yang baharu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata usaha menubuhkan institusi itu juga merupakan satu cara untuk mengingati jasa serta peranan Abdullah kepada negara terutama di Kepala Batas.

"Tun Abdullah begitu sinonim dengan penduduk Kepala Batas, jadi kami...Umno Kepala Batas telah berbincang dan mencapai satu keputusan untuk menubuhkan sebuah Institusi Pembangunan Kepimpinan Tun Abdullah dalam tempoh terdekat ini di sini (Kepala Batas).

"Institusi itu akan berperanan melahirkan pemimpin yang mempunyai moral, kepimpinan, pemikiran dan perwatakan seperti Tun Abdullah iaitu seorang yang sabar, mempunyai daya kepimpinan berlandaskan Islam serta dihormati semua pihak.

"Kami merancang institusi itu dibuka kepada golongan remaja berusia 15 tahun ke atas bagi membentuk diri mereka sebagai pemimpin daripada usia yang lebih muda," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Reezal Merican yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas menang jawatan Ketua Umno bahagian selepas memperoleh 457 undi manakala pencabarnya yang juga bekas Timbalan Ketua Umno bahagian Datuk Hilmi Abdul Rashid memperoleh 147 undi pada persidangan pemilihan, Sabtu.

Reezal Merican menggantikan Abdulah yang mengosongkan jawatan itu selepas 35 tahun bagi memberi laluan kepada ganerasi baharu untuk menerajui Kepala Batas yang merupakan kubu kuat Umno di Pulau Pinang.

Sementara itu, Reezal Merican berkata kemenangan itu merupakan satu tanggungjawab besar yang diberikan perwakilan kepadanya untuk meneruskan legasi Abdullah di Kepala Batas.

Beliau percaya dengan kerjasama daripada barisan pemimpin yang baharu dipilih oleh perwakilan dapat meningkatkan lagi pembangunan Umno di Kepala Batas.

"Semua yang ada sekarang ini di Kepala Batas adalah pembangunan yang dilakukan oleh Tun Abdullah, kami (pemimpin baharu) datang dari segi perisian.

"Jadi misi utama kami sekarang ini ialah meningkatkan lagi kualiti kehidupan penduduk Kepala Batas dan pendidikan serta peluang pekerjaan yang lebih baik kepada anak-anak di sini. Kami juga akan berusaha menambah lebih ramai ahli Umno di sini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain