suria

Umno Kelantan Cadang Umno Pusat Tetapkan SOP Pemilihan Parti

KOTA BARU: Umno Kelantan pada Ahad mencadangkan kepada Umno Pusat supaya menetapkan Standard Operating Prosedur (SOP) bagi proses pemilihan parti bagi mengelakkan berlakunya percanggahan arahan dan mengelirukan perwakilan pada pemilihan masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Negeri, Datuk Hasan Haron berkata arahan kepada perwakilan bagi proses pemilihan tersebut kebanyakannya dibaca menerusi akhbar dan tiada penetapan SOP yang boleh dipatuhi.

"Keadaan ini boleh menimbulkan pertelingkahan kerana tiada hitam putih daripada pihak berkenaan," katanya kepada pemberita di Pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri di sini, Ahad.

Hasan berkata pemilihan Umno di Kelantan semalam, bebas daripada sebarang perkara negatif seperti politik wang dan penyelewengan.

"Memandangkan jumlah perwakilan yang begitu ramai iaitu seramai 11,212 orang yang terlibat dalam pemilihan menyukarkan calon untuk terlibat dalam politik wang dan penyelewengan.

"Tiada sebarang aduan rasmi diterima dan kalau ada pun melalui telefon dan saya anggap ia tidak rasmi," katanya.

Hasan berkata perwakilan boleh membuat aduan terus kepada Pengerusi Tribunal Disiplin Umno Malaysia, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas untuk tindakan. - BERNAMA

Artikel Lain