suria

Mukhriz Puas Hati Dengan Keputusan, Janji Beri Sumbangan Kepada Parti

KUALA LUMPUR: Walaupun gagal dalam percubaan merebut salah satu daripada tiga jawatan Naib Presiden Umno, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berjanji akan terus memberi sumbangan kepada agenda transformasi parti itu.

Mukhriz, yang juga Menteri Besar Kedah, berkata beliau masih boleh menyumbang atas kapasitinya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu.

"Saya tidak fikir dengan keputusan ini, saya hilang secara tiba-tiba daripada arena politik.

"Ia adalah menjadi harapan saya bahawa Presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) boleh mempertimbangkan saya untuk kedudukan dalam Majlis Tertinggi supaya saya boleh menyumbang ke arah memastikan pencapaian yang lebih baik dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti," katanya.

Mukhriz berkata demikian kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, awal hari Ahad selepas memberikan saingan sengit kepada penyandang Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum kalah dengan 91 undi berbanding 100 oleh Hishammuddin.

Keputusan rasmi pemilihan jawatan tiga Naib Presiden diumumkan pada pukul 1.40 pagi dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Hishammuddin mengekalkan jawatan masing-masing untuk penggal 2013-2016.

Mengulas lanjut mengenai pertandingan sengit itu, Mukhriz berkata beliau berpuas hati dengan keputusan itu kerana ia memberikan keyakinan baharu terhadap masa depan politiknya.

"Saya terkejut dengan apa yang saya dicapai memandangkan saya terpaksa bersaing dengan penyandang di sebalik sikap pesimis dalam kalangan beberapa pihak mengenai pencalonan saya.

"Pertandingan ini sangat sengit. Saya menyerahkan kepada Allah dan menerima keputusan ini sebagai satu rahmat yang terselindung," katanya.

Mengenai rancangan masa depannya, Mukhriz berkata: "Saya mempunyai tugas mengurus yang amat penting dalam pilihan raya kecil...yang amat penting untuk kita. Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) Isnin ini."

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau akan diadakan 4 Nov ini berikutan kematian wakil rakyatnya Tan Sri Azizan Abdul Razak, yang juga bekas Menteri Besar Kedah, pada 26 September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Rabu ini sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 4 Nov. DUN Sungai Limau mempunyai 27,222 pemilih berdaftar. - BERNAMA

Artikel Lain