suria

Idris Jusoh Sifatkan Kemenangan Sebagai Ahli MT Tanggungjawab Lebih Besar

IPOH: Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan kemenangannya sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan semalam adalah satu tanggungjawab besar yang perlu terus dipikul demi kejayaan parti.

Beliau berada di kedudukan kelima dalam senarai anggota MT yang dipilih berkata pemilihan semalam turut memperlihat ada 'angin perubahan yang agak kuat' daripada perwakilan dan ia seharusnya dihormati.

"Mungkin angin (perubahan) itu begitu kuat dan kita menghormati keputusan dibuat perwakilan itu dan berharap mereka (anggota MT) dapat menjalankan tanggungjawab dan tugas dengan sempurna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Kokurikulum 2013 Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini Ahad.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada perwakilan yang memberi keyakinan kepadanya dan berjanji untuk berkhidmat bagi memastikan sistem pendidikan negara antara terbaik dunia.

Sementara itu Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menasihatkan calon yang tewas pada pemilihan semalam supaya tidak kecewa sebaliknya perlu bekerja keras jika mahu bertanding lagi pada pemilihan parti akan datang.

Mohamed Nazri kekal sebagai Ketua Umno Bahagian Padang Rengas selepas menang tanpa bertanding.

Mengulas mengenai kegagalan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir merebut satu daripada tiga jawatan Naib Presiden parti, beliau berkata walaupun kali pertama bertanding jawatan berkenaan anak kepada bekas perdana menteri itu menunjukkan pencapaian yang baik.

"Untuk pertama kali (bertanding), beliau berjaya melakukan dengan baik...sudah pasti beliau adalah pemimpin masa depan Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melawat taman tema Lost World of Tambun di sini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendapat saingan sengit daripada Mukhriz apabila masing-masing memperoleh 101 dan 93 undi bahagian.

Pada pemilihan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperoleh 188 undi, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meraih 177 undi dan Hishammuddin mengekalkan gandingan mereka sebagai Naib Presiden Umno untuk penggal 2013-2016.

Sebanyak 146,500 perwakilan dari 191 bahagian Umno mengundi mengikut sistem 'Electoral College' bagi memilih tiga Naib Presiden baharu, iaitu tiap seorang daripada tiga calon yang memperoleh bilangan undi paling banyak dari perwakilan bahagian, dikira meraih satu undi dari bahagian berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain