suria

Doktor Berjaya Keluarkan Peluru Dari Kerongkong Mohd Amar

IPOH: Seluruh anggota keluarga kepada Mohd Amar Mohd Azizi melahirkan rasa syukur atas kejayaan doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mengeluarkan peluru daripada kerongkong kanak-kanak itu awal pagi Ahad.

Mohd Azizi Abdullah Halim, 48, berkata anaknya kini dalam keadaan stabil dan mampu minum walaupun masih lali ekoran kesan ubat bius bagi pembedahan itu.

"Alhamdulillah pembedahan itu berjaya. Mohd Amar dibawa masuk ke dalam bilik pembedahan pada pukul 9 pagi tadi dan kira-kira 11.30 pagi pula ketua kumpulan pakar perubatan itu berjumpa saya memaklumkan pembedahan itu berjaya," katanya.

Mohd Azizi melahirkan ucapan terima kasih kepada mereka yang mendoakan kejayaan pembedahan itu, terutama pasukan pakar perubatan serta kakitangan HRPB.

Terdahulu, Pengarah HRPB Dr Raja Lope Ahmad Raja Ariffin berkata kes yang berlaku kepada murid Darjah 4 dari Parit itu merupakan sesuatu yang unik dan pembedahannya berhadapan dengan banyak risiko besar.

Oleh yang demikian katanya, pasukan pakar perubatan yang dibentuk HRPB memerlukan perincian bagaimana pembedahan itu perlu dijalankan.

Mohd Amar menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik HRPB selepas cedera terkena tembakan ketika seorang anggota polis yang sedang mengosongkan pistol automatiknya terlepas tembakan di hadapan sebuah rumah di Kampung Belanja Kiri, Parit pada Isnin lepas.

Pada 15 Oktober, Pakar Perunding Neurosurgeri HRPB Dr Cheang Chee Keong berkata Mohd Amar sangat bernasib baik kerana peluru itu tidak mengenai saraf tunjang atau peti suara yang boleh mengakibatkannya lumpuh dan bisu.

Beliau berkata imbasan x-ray menunjukkan peluru yang menembusi hidung dan tersekat di kerongkong Mohd Amar tersangkut pada jarak kurang satu sentimeter dari saraf tunjang dan agak jauh dari peti suara. - BERNAMA

Artikel Lain