suria

BN Perlu Usaha Lebih Gigih, Dapatkan Kembali Sokongan Pengundi Cina

MUAR: Barisan Nasional (BN) perlu berusaha lebih gigih untuk mendapatkan semula sokongan pengundi Cina selain meraih sokongan penuh pengundi Melayu untuk memastikan parti itu terus kekal memerintah negara ini.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Razali Ibrahim berkata BN tidak boleh mengetepikan sokongan pengundi kaum Cina dan memerlukan sekurang-kurangnya 30 peratus undi daripada mereka untuk membina sebuah kerajaan yang kukuh.

"Kita tidak harus lupa pengundi Cina banyak membantu BN mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum 1999 apabila Umno, parti yang menunjangi BN berpecah ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

"Tetapi semasa pilihan raya umum baru-baru ini, mereka ambil kesempatan daripada perpecahan itu untuk menyokong pembangkang dengan harapan boleh mengubah kerajaan.

"Bagaimanapun, ia tidak bermakna kita harus mengetepikan mereka kerana jika mahu terus berkuasa dan kita perlu berusaha untuk mendapatkan sokongan mereka," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Sementara itu, mengulas tentang pemilihannya sebagai Ketua Umno Bahagian Muar yang baharu, Razali, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berazam untuk memperkemas pentadbiran Umno di peringkat bahagian dan cawangan sebelum menyusun gerakan termasuk persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Saya akan bertemu bekas Ketua Umno Bahagian Muar Datuk Mohd Ismail Mohd Shah bagi mendapatkan pandangan beliau dan dalam masa sama kita akan memperkemaskan kembali hubungan dalam kalangan anggota parti dengan mengetepikan perbezaan semasa proses pemilihan," katanya.

Dalam pemilihan peringkat bahagian Muar semalam, Razali yang kali pertama bertanding untuk jawatan itu berjaya menewaskan pencabarnya Ketua Umno Cawangan Parit Tunggal Datuk Jalaludin Kassim dengan memperoleh 366 undi manakala lawannya 347 undi. - BERNAMA

Artikel Lain